KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi amaran orang ramai supaya memakirkan kenderaan di tempat dan kawasan yang betul ketika membeli-belah di ibu negara.
“Usah letak kenderaan anda sesuka hati, parkir di lokasi yang betul. Jika tidak anda akan dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk ditunda,” peringatan DBKL kepada warga kota menerusi laman Facebooknya.
Peringatan itu dibuat ekoran tindakan orang ramai yang memakir kenderaan sesuka hati di tepi-tepi jalan sehingga menyusahkan pengguna lain dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Menjelang sambutan Aidilfitri, beberapa lokasi panas di Dataran Merdeka, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Bukit Bintang terus menjadi tumpuan pengunjung.
”Perayaan tetap perayaan tetapi peraturan perlu diakuri, anda mungkin rasa senang dan mudah untuk parkir di tepi jalan tetapi anda lupa anda telah menyukar mereka yang lain,” tambah DBKL sambil memaklumkan kehadiran penguat kuasanya di sekitar pusat beli-belah bukan untuk menyukarkan orang ramai.
Tetapi sebagai pengguna jalan raya, orang ramai perlu saling faham memahami dan membantu dalam menangani situasi kesesakan lalu lintas.
”Ingat, perayaan tetap menjelma tapi jangan abai peraturan.- MalaysiaGazette