hajj quota pilgrims Saudi Arabia Malaysia
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Arab Saudi menetapkan seramai 14,306 orang jemaah haji Malaysia pada tahun ini.

Jumlah itu adalah 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima sebelum ini iaitu 31,600 orang.

Menteri Hal Ehwal Agama Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad ketika membuat pengumuman itu berkata, peratusan itu juga terpakai untuk semua negara lain.

Ia selaras dengan pengumuman negara itu yang membenarkan hanya satu juta jemaah bagi musim haji tahun ini atau 40 peratus daripada jumlah 2.5 juta pada tahun 2019.

Dalam pada masa yang sama, Kerajaan Arab Saudi juga telah menetapkan bahawa 85 peratus dari 1 juta ini adalah jemaah luar.
Menurut beliau, angka ini lebih tinggi dari tahun 2019 yang mana jemaah dari luar Arab Saudi adalah hanya 75 peratus.

Pada tahun ini, jemaah haji yang dibenarkan pula berumur bawah 65 tahun, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas.

Penetapan ini berikutan penilaian dan juga langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan kesemua jemaah haji dari seluruh dunia.

Susulan itu, Idris berkata, TH akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat dan bakal jemaah yang terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera.

Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya bersedia dengan dokumen-dokumen yang berkaitan terutamanya passport.

”Saya memohon jasa baik semua bakal jemaah haji untuk membuat persedian sewajarnya dari segi ilmu, kesihatan, rohani dan jasmani serta kewangan,” katanya ketika membuat pengumuman jumlah kuota haji Malaysia 2022 hari ini.

Semua jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin Covid-19 apabila dipanggil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa yang ditetapkan.

Tambah beliau, Tabung Haji (TH) kini sedang giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci setelah dua tahun tertangguh kerana pandemik Covid-19.

“TH akan membuat pengumuman dari masa ke semasa sekiranya ada maklumat lanjut dari Kerajaan Arab Saudi yang perlu dikongsikan dengan bakal jemaah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Idris berkata, bantuan pembayaran haji tetap akan diteruskan oleh TH bagi para bakal jemaah pada tahun ini.

Katanya, pengurusan Tabung Haji akan mengumumkan ketetapan bayaran baharu para jemaah haji hari esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast