KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa itu tidak mengambil tindakan mengeluarkan saman terhadap kesalahan tidak memakai pelitup muka seperti tular di laman media sosial.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, pihaknya telah mengesan sebaran mesej itu yang mengelirukan orang ramai.
“PDRM ingin menegaskan bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa Peralihan ke Fasa Endemik Covid-19 bertarikh 1 April 2022, masih lagi berkuatkuasa.
“Pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan di tempat awam dan oleh yang demikian, PDRM masih meneruskan tindakan kompaun jika terdapat mana-mana pihak yang melanggar SOP berkenaan di bawah peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, orang ramai diminta mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette