Empat ahli panel berdiskusi mengenai Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia yang dihoskan Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong.

KUALA LUMPUR – Sekiranya Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bukan Bahasa Kebangsaan, kerajaan dan rakyat Indonesia akan menolak untuk dijadikan bahasa pengantar antarabangsa serta Asean.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Kamaruddin M. Said berkata, perkara itu telah dinyatakan oleh kerajaan Indonesia menerusi Asosiasi Profesor Indonesia (API) dan Dewan Guru Besar Seluruh Indonesia (DGBSI) kepadanya.

Beliau berkata, walaupun sudah ada Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), tetapi badan bukan kerajaan itu tidak berfungsi dengan baik apabila perkataan bahasa Melayu mula digunakan.

“Saya seorang yang pragmatik, kalau saya yakin sesuatu perkara itu boleh berjaya, saya akan katakan boleh berjaya, kalau saya rasa perkara itu tidak mungkin berjaya, saya pun kata tidak mungkin berjaya.

“Dalam kes ini, pada saya hasil daripada kerjasama MPN dengan API dan DGBSI, saya teguh mengatakan selagi Malaysia berkeras menggunakan perkataan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia, bukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi Malaysia, selagi itu Indonesia akan menolak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam diskusi Minda Profesor Negara bertajuk, Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia: Apa Ada Pada Nama? yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Majlis Profesor Negara, hari ini.

Ahli panel diskusi itu ialah Dr. Kamaruddin; mantan Profesor Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim; Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pengarah ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan; Felo Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong; dan moderatornya, Felo Kluster Wanita dan Masyarakat, MPN, Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw

Menurut Dr. Kamaruddin, pada masa Bahasa Malaysia digunakan, MABBIM cukup mantap, tetapi sebaik dimasukkan bahasa Melayu dalam penggunaannya, ia mula menjadi longgar.

Oleh itu, beliau mencadangkan satu majlis baharu ditubuh bagi memantapkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di peringkat Asean, antarabangsa dan dunia khususnya.

Lagipun, katanya, bahasa Melayu itu pun diambil dari bahasa Indonesia iaitu bahasa Riau.

“Pandangan saya, para pejuang bahasa yang hebat-hebat ini biarlah berfikiran pragmatik, jangan terlalu taksub dengan kemelayuan itu.

“Kita nakkan bahasa ini, bahasa Malaysia-Indonesia dan Brunei ini menjadi lingua franca yang penting, bukan sahaja di Asian tetapi di dunia.

“Pada saya, sama ada kita tukar nama itu atau kita gagal. Kuasa itu ada di tangan Dewan Bahasa dan Pustaka dan MABBIM,” katanya.

Dr. Nik Safiah pula berkata, sebagai orang yang optimistik, beliau mempunyai harapan yang amat positif dalam jangkamasa panjang Bahasa Malaysia menjadi bahasa pertuturan di peringkat antarabangsa.

Namun, ujarnya, beliau sedar untuk sampai ke tahap itu, banyak masalah dan ranjau akan ditempuhi , tetapi ia mesti diatasi.

Katanya, kalau tidak wujud perasaan bangga terhadap bahasa kebangsaan sendiri, maka tidak akan wujud kepentingan bahasa itu, sekali gus menemui kegagalan.

“Oleh itu, saya bersetujulah, sambil kita membuat perancangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean, kita tidak perlu juga menyelesaikan banyak masalah pada setiap negara.

“Malaysia sendiri pun penuh dengan cabaran dan masalah kerana kita sendiri belum lagi berjaya menjadikan bahasa kebangsaan benar-benar bahasa sebagai lambang perpaduan, kecintaan terhadap negara dan penyatuan.

“Harapan saya memang besar, iaitu yang perlu diselesaikan tindakan-tindakan yang tegas bukan sahaja oleh rakyat, tetapi pucuk pimpinan, kerana kita selalu berpegang kepada kepimpinan melalui tauladan,” katanya.

Bagi Dr. Teo, bercakap mengenai strategi dan juga harapan untuk merealisasikan gagasan bahasa Melayu ini, beliau berpendapat, ianya harus dilihat kepada perlunya muafakat sosial linguistik.

“Kita sebenarnya sudah ada pun muafakat sosial linguistik ini iaitu dalam bentuk MABBIM.

“Melalui MABBIM ini banyak sisi bahasa Melayu dibina melalui proses kodifikasi untuk menjadikannya bahasa saintifik moden.

“Antaranya ialah ejaan yang diperkenalkan pada tahun 1972 itu untuk digunapakai di Indonesia dan Malaysia, yang kemudiannya ikut digunakan di Brunei dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata, selain ejaan, istilah juga digubal bersama-sama oleh Malaysia-Indonesia-Brunei menerusi MABBIM.

Begitu juga katanya, dengan unsur linguistik yang lain, adalah bertujuan untuk membina bahasa Melayu sebagai bahasa supra di alam Melayu.

Panel terakhir, Prof. Dr. Awang pula berkata, beliau berjuang menegakkan bahasa Melayu sejak 40 tahun lalu iaitu di zaman kampus lagi.

Katanya, perjuangan yang dilakukan itu menunjukkan laluan dan hala tuju yang jelas bahawa beliau masih ada azam dan cita-cita untuk mengangkat tamadun Malaysia ke mercu antarabangsa dan dunia.

“Perjuangan untuk mewujudkan kegemilangan yang sudah pun berlaku ratusan, bahkan lebih dua alaf yang lampau.

“Saya merujuk kepada masalah yang masih lagi menjadi isu, mengambil pengalaman MABBIM ini untuk menjadikan kesepakatan antara tiga negara dan ternyata lebih 100 institusi di seluruh dunia telah menerima nama itu,” katanya. – MalaysiaGazette