Prototaip Mesin Pembersih Sungai UMS

KOTA KINABALU – Sebuah inovasi yang dikenali sebagai Mesin Pembersih Sungai UMS telah dihasilkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mengatasi masalah pencemaran sungai yang semakin membimbangkan.

Penyelidik merangkap Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) UMS, Prof. Madya Dr. Jidon Adrian Janaun berkata, mesin tersebut mampu mengaut sampah dan sisa buangan pepejal sehingga 60 liter atau 90 peratus sampah di sungai.

”Penghasilan prototaip mesin ini dimulakan pada tahun 2018 dan disiapkan secara berperingkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu. Ia dibina dengan peruntukan universiti sebanyak RM100,000,” katanya.

Menurut Jidon, inovasi tersebut merupakan satu sahutan terhadap seruan Kerajaan Negeri Sabah dalam usaha memulihkan beberapa sungai tercemar di kawasan Kota Kinabalu.

Katanya, sekiranya sungai itu dipulihkan ia mampu memberi ruang kepada pelbagai aktiviti yang boleh menjana ekonomi masyarakat setempat selain meningkatkan keindahan dan kebersihan alam semula jadi.

Projek ini turut mendapat sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah yang turut menyumbang dana berjumlah RM30,000.

Pada ketika ini, UMS dan kerajaan negeri masih berada dalam peringkat perbincangan untuk lokasi pemasangan dan perincian pembiayaan, tambah Jidon.

Jika mesin itu dibina menggunakan bahan aluminium dan besi tahan karat, ia akan mampu bertahan sehingga lima tahun.

Antara sungai yang dijangka menggunakan mesin ini termasuklah Sungai Darau Manggatal, Sungai Petagas, Sungai Sembulan dan Sungai Putatan, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast