Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memperkenalkan sistem liberalisasi sistem permit import (AP) supaya mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan seterusnya membantu menurunkan harga makanan asas yang terjejas akibat sedia ada.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, salah satu punca utama harga makanan asas tinggi disebabkan sistem AP.

Oleh itu, kerajaan perlu merombak segera sistem AP sebagai langkah pertama yang harus diambil jika ada kesungguhan politik untuk menangani beban kos sara hidup rakyat.

Katanya, memandangkan hampir 60 peratus makanan diimport dari luar negara dengan kos RM55.5 bilion pada 2020, maka liberalisasi sistem AP akan menguntungkan rakyat.

“Sebaliknya, sistem AP yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya menguntungkan sebilangan kecil pihak yang diberikan permit itu.

“Malah, golongan yang menerima AP ini langsung tidak menyumbang kepada nilai tambah yang signifikan untuk sektor agro-makanan negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menjelaskan, menerusi sistem itu, pihak yang mempunyai AP sahaja boleh mengimport makanan asas termasuk beras, ayam, sayur-sayuran dan kelapa yang kemudiannya dijual kepada pemborong serta peruncit.

Golongan itu, kata Faiz, membuat keuntungan atas angin, tetapi realitinya, keuntungan itu dibayar oleh semua rakyat.

Katanya, kerajaan harus mengumumkan secara terbuka semua pemegang AP supaya rakyat boleh menilai bahawa sistem itu hanya menguntungkan kroni.

”Data Jabatan Perangkaan jelas menunjukkan berlakunya ledakan inflasi makanan antara Disember 2019 hingga Februari 2022.

”Misalnya, harga tomato telah melonjak 30.6 peratus dalam tempoh ini daripada RM5.19 ke RM6.78 sekilo.

“Harga telur gred A 10 biji naik 14.1 peratus daripada RM3.89 ke RM4.44, manakala harga sekilo ayam pula naik 17.8 peratus daripada RM8.03 ke RM9.46 dan harga minyak masak 5 kg naik hampir 41 peratus daripada RM20.98 ke RM29.54,” kata beliau.

Beliau menjelaskan, kenaikan gaji di negara ini pula jauh lebih rendah iaitu gaji pekerja tahap eksekutif hanya meningkat 4.82 peratus pada 2020 dan 4.4 peratus pada 2021.

“Sekiranya situasi itu berterusan, di mana harga barang asas melonjak lebih tinggi daripada kadar peningkatan gaji, rakyat akan terus sengsara akibat inflasi, terutama golongan berpendapatan rendah. Kroni terus kaya raya, rakyat pula dihimpit sengsara.

“Justeru, Malaysia memerlukan perubahan struktur untuk menyelesaikan isu inflasi makanan dan paling penting, sistem AP ini harus dirombak untuk membolehkan pemborong dan penjual mengimport secara terus dari luar negara.

“Liberalisasi sistem AP boleh mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan seterusnya membantu menurunkan harga makanan asas yang terjejas akibat sistem AP,” ujar beliau.

Menurut Faiz lagi, industri agro-makanan negara memerlukan satu anjakan bagi merangsang perkembangan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

Katanya, menjelang perayaan Aidilfitri ini, rakyat dambakan perhatian kerajaan untuk mendapat harga makanan yang lebih murah.

Maka, tegas beliau, rombakan sistem AP ini amat penting supaya isu kos sara hidup ini benar-benar diatasi dengan tuntas. – MalaysiaGazette