KUALA LUMPUR – Atlet terjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam yang dijadual berlangsung pada 12 Mei ini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, penerjun berusia 22 tahun itu dipilih selepas memperagakan prestasi mengagumkan pada Sukan Olimpik Tokyo tahun lepas walaupun terlepas peluang menyumbang pingat untuk negara.
Terjunannya di Jepun hampir membawa pulang pingat gangsa acara terjun papan anjal 3 meter (m) individu akhir, selepas menduduki tempat keempat dengan 326.15 mata, di belakang juara bertahan Shi Tingmao (383.50 mata), Wang Han (348.75) kedua-duanya dari China dan atlet Amerika Syarikat Krysta Palmet (343.75 mata).
“Kita merasakan sebagai atlet muda yang melakar pencapaian membanggakan di Sukan Olimpik, seharusnya atlet lain akan lihat beliau sebagai ikon kepada kontinjen kita.
“Personaliti Nur Dhabitah yang mesra, mudah didekati serta peramah melambangkan semangat kontinjen negara kerana walaupun kita berbekalkan ‘belang harimau’, namun ‘harimau’ ini yang rendah diri dan peramah dalam kita menghadapi Sukan SEA Hanoi,” katanya.
Mohamad Norza berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran pakaian rasmi kontinjen Malaysia 2022 di sini, hari ini.
Nur Dhabitah bakal beraksi dalam dua acara pada temasya dwitahunan itu kali ini, iaitu 1m papan anjal individu wanita selain bergandingan bersama ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama wanita.
Sementara itu, Mohamad Norza berkata, selain menjadi pakaian rasmi bagi Sukan SEA Hanoi, Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom serta Sukan Asia Hangzhou, China, ia juga akan dipakai kontinjen negara pada Sukan Perpaduan Islam di Konya, Turki dan Sukan Asia Remaja di Shantou, China.
Katanya, pakaian rasmi direka khas dan dibekalkan syarikat Yonex Sunrise itu masih mengekalkan elemen corak belang harimau yang sinonim dengan kontinjen negara sejak pertama kali digunakan pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina.
“Elemen harimau dikekalkan kerana ia simbol haiwan kepada negara kita selain pantas, kuat, daya tahan hebat tidak kira di air dan darat, yang seterusnya melambangkan karakter atlet kita,” katanya
Setelah mengharungi tempoh sukar susulan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas, Mohamad Norza percaya rekaan baharu pakaian rasmi itu mampu menyuntik semangat atlet untuk berjuang menggalas tugas negara di Vietnam.
Sukan SEA Hanoi akan berlangsung hingga 23 Mei. – Bernama