KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan membantu golongan gelandangan terutama di ibu negara tidak hanya tertumpu kepada bantuan kebajikan bermusim.
Sebaliknya ia berterusan melalui pelbagai program pembangunan sepanjang masa, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.
Menurutnya, kerajaan sentiasa berusaha membantu golongan gelandangan menerusi pelbagai program daripada segi pendidikan, kemahiran dan pembangunan modal insan.
Menurut beliau, ia bukan sahaja melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat namun pelbagai kementerian lain antaranya Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Sumber Manusia.
“Kami di kementerian sentiasa mengusahakan banyak program pembangunan untuk membantu golongan gelandangan dan kita perlu beri masa untuk mereka berubah.
“Apa yang penting kita perlu mengubah mentaliti golongan gelandangan ini dahulu kerana kebanyakan mereka tidak ada matlamat dan hala tuju dalam hidup. Jadi kita kena beri ruang untuk mereka mengubah kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian Program Semarak Kasih Ramadan bersama golongan gelandangan dan miskin bandar anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Pas Pusat dengan kerjasama Pertubuhan Kami Prihatin di Jalan Raja Laut hari ini.
Turut hadir Pengerusi LKK, Dr Rosni Adam.
Seramai 5000 golongan gelandangan dan miskin bandar disantuni menerusi bantuan makanan dan duit raya di kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, Siti Zailah mengharapkan lebih banyak bantuan dan sokongan NGO serta dermawan dapat tampil ke hadapan meneruskan usaha membantu kumpulan gelandangan seperti telah amalkan selama ini. – MalaysiaGazette