Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah bercakap pada sidang media mengenai Isu Peniaga Warga Asing di Kuala Lumpur di Pasar Harian Selayang. Foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) tidak menafikan sememangnya wujud peniaga warga asing menjalankan perniagaan di sekitar Pasar Harian Selayang.

Menurut Yang Dipertuanya, Datuk Mohamad Abdullah, disebabkan pelaksanaan undang-undang yang ketat dalam kalangan penguat kuasa menyebabkan isu itu dapat diselesaikan.

“Ada peniaga asing tapi kalau ada pun kita tiada kuasa jadi kita minta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) buat penguatkuasaan.

“Itu kerja polis, DBKL, Imigresen dan kerja kita memastikan bahawa kalau tapak perniagaan ini ada peniaga asing baru pihak persatuan perjuangkan.

“Nak tangkap pekerja asing itu bukan kerja kita,” katanya dalam sidang media di hadapan Pasar Harian Selayang hari ini.

Beliau berkata demikan menjawab mengenai laporan media wujudnya beberapa peniaga warga asing yang membuka gerai di sekitar Pasar Harian Selayang.

Dalam laporan terbabit, kewujudan peniaga antaranya dari Myanmar dan Bangladesh di pasar tersebut diakwa dilindungi pihak tertentu malah menganaktirikan peniaga tempatan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kewujudan peniaga warga asing adalah disebabkan adanya permintaan daripada masyarakat.

“Mereka boleh berniaga disini sebab ada pembeli, mereka buka kedai dan masyarakat di sini sokong. Contoh sayur-sayuran rosak peniaga buang dia ambil dan jual, lepas itu peraih di flat ambil dan jual di sana. Jangan bantu mereka, kebanyakan mereka ambil dari situ.

“Yang saya nak tekankan semua menteri memainkan peranan kalau mereka tak bantu kita akan bagitau mereka (menteri) tak bantu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sebagai persatuan penjaja hanya boleh membuat laporan mengenai kewujudan penaga asing.

“Kita laporkan kepada pihak berkuasa kalau mereka tidak mahu tangkap itu terpulang kepada mereka. Imigresen, polis ada bidang kuasa masing-masing malah kalau kawasan ini tidak bagus. Wakil rakyat kena bantu kita,” jelas beliau lagi.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah serta yang lain bergambar sambil memegang kain rentang sokongan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim selepas sidang media mengenai Isu Peniaga Warga Asing di Kuala Lumpur di Pasar Harian Selayang. Foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2022.

Dalam pada itu, Mohamad turut menggesa agar mana-mana media tidak membanding-bandingkan menteri-menteri yang pernah menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.

Katanya tuduhan terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang membiarkan warga asing menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kawalan juga agak keterlaluan.

Jelasnya, laporan tersebut bertujuan untuk melaga-lagakan Shahidan dan bekas menteri, Tan Sri Annuar Musa yang sebelum ini dilihat banyak mencetuskan idea untuk membantu warga tempatan untuk berniaga setelah negara dilanda pandemik Covid-19 melalui inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (WBB).

“Kita melihat bahawa zaman Annuar dan Shahidan ini, kedua dua mereka memainkan peranan penting untuk golongan peniaga kecil dalam memberikan pertolongan dan bantuan untuk merancakkan kembali ekonomi yang terjejas sebelum ini.

“Apabila Shahidan dilantik, beliau meneruskan apa yang telah dirancang Annuar bahkan dalam soal bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur, beliau akan turun dan membantu peniaga,” katanya. – MalaysiaGazette