Peluncur paragliding mati selepas tersangkut di pokok di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu.

KUALA LUMPUR – Insiden lelaki tersangkut pada sebatang pokok semasa aktiviti paragliding di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu dekat sini semalam berpunca daripada masalah teknikal.

Bagaimanapun menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suprintenda Arsad Kamaruddin, punca masalah berkenaan masih belum dikenal pasti.

Hasil siasatan mendapati lelaki tempatan yang maut tersangkut di pokok berkenaan telah membuat terjunan sebanyak dua kali sebelum tersangkut.

“Siasatan polis mendapati semasa mangsa membuat terjunan cuaca dan angin bukan penyebab berlakunya insiden,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Arsad menjelaskan siasatan lanjut polis mendapati bahawa tidak ada unsur jenayah pada kejadian berkenaan.

Katanya lagi, polis Hulu Selangor telah membuka kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu Arsad mengesahkan mangsa telah tersangkut di pokok ketinggian lebih kurang 20 kaki.

“Apabila bomba berjaya menurunkan mangsa dari pokok, didapati mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.

Sebagai rekod, polis IPD Hulu Selangor menerima maklumat daripada seorang anggota bomba tentang kejadian berkenaan yang dilaporkan berlaku lebih kurang pukul 6.20 petang.-MalaysiaGazette