Zairil (kiri) menunjukkan jaring di pasang oleh JKR sebagai langkah mitagasi sementara tangani runtuhan di Lorong Bukit Kukus, Paya Terubong, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memperuntukan RM7.9 juta untuk menangani masalah runtuhan cerun di Lorong Bukit Kukus, Paya Terubong di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerja membaik pulih cerun berhampiran Rumah Pangsa Grandview Heights dan Rumah Pangsa Bukit Saujana itu dijangka bermula suku ketiga tahun ini dan siap dalam tempoh 18 bulan.

Zairil menunjukkan pelan lokasi membaik pulih runtuhan cerun.

Jelas beliau, kerja-kerja tersebut akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) demi keselamatan penduduk membabitkan lebih 400 unit rumah di kawasan berkenaan.

“Berlaku tiga insiden runtuhan batu berhampiran kawasan perumahan di sini pada 2017, 2018 dan 2020. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.

”Jabatan Kerja Raya membuat kerja mitigasi sementara dengan memasang jaring dengan kos RM80,000 yang diperuntukan oleh kerajaan negeri untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Susulan itu, bagi memastikan kestabilan cerun di sini, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM7.9  juta termasuk kos bayaran yuran perunding dan kos imbuhan balik,” katanya pada sidang media di lokasi kerja membaik pulih di sini, hari ini.

Zairil menunjukkan bongkah batu runtuhan di lokasi kejadian.

Tambah Zairil, berdasarkan kajian MBPP, kawasan runtuhan cerun itu melibatkan kawasan seluas 4.1 hektar manakala kawasan yang dibaiki adalah sebanyak 3.4 hektar.

Dalam perkembangan sama, Zairil berkata, kerajaan negeri kini dalam proses melakukan pemutihan terhadap mereka yang menjalankan aktiviti pertanian di kawasan cerun bukit.

“Kita dapati banyak pekebun yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan melakukan aktiviti penanaman sayur, bunga serta durian di kawasan Balik Pulau serta Bukit Bendera.

“Ada dalam kalangan pekebun ini telah menjalankan aktiviti tersebut sejak turun-temurun jadi untuk menangani pekebun haram kita minta mereka berhubung dengan MBPP dalam tempoh enam bulan iaitu sehingga  Jun ini.

“Mereka yang gagal berbuat demikian selepas tempoh tersebut akan dikenakan tindakan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette