Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes denggi mencatatkan penurunan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) kerana penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya tidak pernah menyaksikan penurunan kes sebegini malah trend yang sama turut berlaku kepada negara-negara jiran.

Katanya, isu denggi ini sentiasa dipandang serius Kementerian Kesihatan dengan setiap minggu ia akan dibentang dalam mesyuarat mingguan.

“Kita tidak pasti betul atau tidak ada, virus yang bersaing dengan denggi atau sebaliknya atau adakah kerana rakyat negara ini duduk di rumah dan melakukan pelbagai aktiviti di rumah seperti membersihkan halaman rumah.

“Mungkin juga semua penduduk tidak keluar rumah hingga dapat mengelak digigit nyamuk di sesuatu lokasi yang dikunjungi,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Lebihan Kematian Semasa Pandemik Covid-19 di Malaysia bersama media secara maya.

Antara ahli panel yang terlibat iaitu, Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM, Datuk Dr. P Kalaiarasu dan Ketua Unit Pusat Penyelidikan Tinjauan Institut Kesihatan Umum, Institut Kesihatan Negara, Dr. G Shubash Shander.

Dr. Noor Hisham berkata, tindakan segera arahan kesihatan awam pada awal penularan Covid-19 menyaksikan jumlah lebihan kematian lebih rendah berbanding negara lain yang dilaksanakan antara Mac 2020 hingga Julai 2021 sekali gus mengurangkan risiko yang lebih besar.

Katanya, ia menjadikan Malaysia merekodkan lebihan kematian lebih rendah berbanding negara lain sepanjang pandemik Covid-19.

“Hasilnya, ia menunjukkan bahawa tindak balas negara terhadap pandemik Covid-19 adalah baik namun peningkatan lebihan kematian hanya berlaku ketika lonjakan kes positif Covid-19 dalam gelombang varian Delta iaitu antara Julai dan Ogos 2021.

“Apa yang kita lihat adalah kepatuhan kepada prosedur operasi standard yang penting, bukannya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala yang kedua, semasa lonjakan kes Covid-19 varian Delta pada Julai dan Ogos 2021,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast