Doktor
Doktor sedang memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di ICU HKL. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,478 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam, terendah sepanjang bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 meningkat kepada 4,433,551 kes.

Menurut beliau, kes sembuh pula melonjak kepada 9,215 kes dengan jumlah kumulatif naik kepada 4,330,037 kes.

“Daripada jumlah positif itu, tujuh adalah kes import yang melibatkan enam warganegara dan seorang bukan warganegara.

“Kes tempatan pula sebanyak 2,471 kes iaitu 2,356 warganegara dan 115 bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), kata beliau, sebanyak 98 kes dilaporkan iaitu 54 kes daripadanya disahkan Covid-19, manakala 44 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Kata Dr. Noor Hisham, walaupun kes baharu menunjukkan penurunan, orang ramai dinasihatkan terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Antaranya ialah mengelakkan berada di kawasan yang sesak, sempit sembang dengan jarak yang dekat.

“Sentiasa amalkan 3W iaitu Wash, Wear and Warn, selain memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan itu.

Justeru, mereka dinasihatkan segera mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19 dengan hadir ke temu janji bagi yang telah mendaftar. – MalaysiaGazette