KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney menarik nafas lega apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menangguhkan beberapa perlawanan Liga Malaysia (Liga M) bagi memudahkan persiapan pasukan ke temasya Sukan SEA 2021 awal bulan depan.
Kata Maloney, penghargaan kepada semua pihak terlibat khususnya MFL dan kelab-kelab Liga M selepas memberikan kerjasama dalam memastikan persiapan pasukan B-23 berada dalam landasan lebih baik serta positif.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan ingin merakamkan penghargaan kepada MFL dan pasukan Liga M di atas kerjasama mereka dalam memastikan pasukan junior negara melakukan persiapan dengan lebih baik.
“Ini kerana kita akan menghadapi dua kejohanan penting iaitu Sukan SEA 2021 Hanoi, Vietnam bermula 7 Mei ini dan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan bermula 1 hingga 19 Jun nanti.
“Sudah pasti perkhabaran ini bukan sahaja menyuntik semangat buat barisan pegawai dan pemain skuad B-23 negara, malah akan lebih fokus menghadapi Sukan SEA 2021 yang dianggap sebagai medan persediaan buat pasukan sebelum ke Uzbekistan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Skuad muda Harimau Malaya telah menjalani sesi latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak 19 April lepas dengan beberapa pemain akan melaporkan diri secara berperingkat sebelum berlepas ke Vietnam pada 4 Mei ini.
Pasukan kebangsaan telah diundi dalam Kumpulan B dan bakal memulakan kempen temasya dwitahunan itu bertemu Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh. – MalaysiaGazette