KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki tempatan ditemui terdampar di Sungai Klang berhampiran jambatan besi Desa Mentari, Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 30-an.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan penemuan mayat dari orang awam kira-kira pukul 9.05 malam tadi.
“Bertindak atas maklumat itu, pasukan bomba dengan sebuah jentera dari BBP Jalan Penchala telah bergegas ke lokasi dan tiba pukul 9.17 malam tadi di Jalan PJS5/9 Taman Desa Ria,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambah Norazam, mangsa berjaya dikeluarkan dari sungai oleh pasukan bomba yang berada di lokasi dan pegawai kesihatan yang turut hadir ke lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut di hantar ke hospital untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya.- MalaysiaGazette