Petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melakukan cerapan anak bulan menggunakan teleskop sambil memegang payung berikutan hujan mula turun bagi menetapkan awal bulan Syawal semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Penentuan awal Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan dilakukan secara cerapan anak bulan di seluruh negeri di 29 lokasi petang Ahad 1 Mei ini.

Aktiviti itu dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan Mufti Negeri dan ahlinya iaitu pakar falak, alim ulamak, pegawai falak dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, data rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia yang dikeluarkan oleh JUPEM.

Kata beliau, tarikh rasmi Hari Raya Aidilfitri akan diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi yang telah ditetapkan.

“Kita nasihatkan semua pihak menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri di negara ini yang telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab ini kepada pihak berautoriti,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia menggunakan kaedah rukyah dan hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Kaedah itu, katanya, selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak serta astronomi yang telah dipersetujui oleh semua negeri. – MalaysiaGazette