Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit Malaysia menghampiri kerugian bulanan terbesarnya dalam tempoh lebih lima tahun kerana kejatuhan harga minyak dan sokongan kadar faedah yang rendah oleh bank pusat telah menjejaskan mata wang pengeksport minyak itu.

Dengan kejatuhan harga minyak yang ‘melenyapkan’ sebahagian besar keuntungan  dibuat susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari, ringgit, turun 3.6% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat bulan ini, bersedia menyaksikan lebih banyak penyusutan ekoran kelembapan ekonomi China.

”Penurunan ringgit sudah tentu jauh lebih tinggi daripada jangkaan saya,” kata Alvin Tan, Ketua Strategi Mata wang Asia di RBC Capital Markets di Hong Kong.

Ramal beliau, mata wang ringgit akan terus lemah selagi selagi risiko pertumbuhan China terus meningkat.

Pendedahan ekonomi Malaysia kepada China ternyata menjadi ancaman kepada ringgit.

China, yang ekonominya semakin terjejas oleh beberapa siri sekatan akibat Covid-19 merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia pada 2021.

RBC Capital meramalkan ringgit, yang didagangkan pada paras terendah sejak Mei 2020 pada hari Rabu, berisiko menyusut kepada  4.40 berbanding dolar AS pada penghujung suku kedua, tahap terakhir dilihat pada April 2020.

Ringgit yang pernah menyusut paling ketara sejak November 2016, merupakan mata wang Asia sedang pesat membangun yang merekodkan prestasi kedua terburuk bulan ini.

Jurang yang semakin meluas dalam dasar monetari antara bank pusat Malaysia dan Rizab Persekutuan juga akan menghalang sebarang keuntungan bermakna dalam ringgit tidak lama lagi.

Walaupun Rizab Persekutuan menyokong kenaikan kadar faedah yang agresif tahun ini, Bank Negara Malaysia pula menahan dan berkemungkinan akan terus berbuat demikian.

Kawalan ketat dasar monetari apabila inflasi disebabkan oleh kejutan bekalan mempunyai keberkesanan yang terhad, kata Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Yunus minggu lalu, walaupun ketika inflasi makanan Mac mencapai paras tertinggi dalam tempoh lima tahun.

”Penurunan harga minyak dan perbezaan dasar bank pusat tidak menguntungkan ringgit. Bank Negara Malaysia hanya akan menaikkan sekali sahaja menjelang akhir tahun, yang akan menjadi sangat lemah berbanding jangkaan kenaikan kadar AS tahun ini.

”Itulah sebabnya terdapat banyak kepentingan perlindungan jangka pendek dalam USD/MYR,” kata Jeff Ng, penganalisis mata wang kanan di MUFG di Singapura.

MUFG meramalkan bahawa ringgit mungkin mencecah 4.16 setiap dolar AS menjelang akhir tahun, manakala DBS melihatnya pada 4.28.

“Ia kebanyakannya pandangan dolar,” kata Philip Wee, pakar strategi FX kanan di DBS di Singapura yang menjangkakan dolar akan memuncak pada suku ketiga apabila perhatian beralih kepada bank pusat lain yang melaksanakan dalam dasar normalisasi.

Tambahnya, perkembangan itu akan menguntungkan ringgit. – Bloomberg