KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Wilayah Persekutuan membelanjakan peruntukan daripada sumber Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengatasi masalah banjir kilat di ibu kota yang berlaku baru-baru ini.
Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim arahan berkenaan dikeluarkan oleh Perdana Menteri ketika mesyuarat Kabinet yang berlangsung baru-baru ini.
Sebagai jalan penyelesaian jangka masa pendek, sebanyak 25 pasukan pemantau DBKL akan ditempatkan di kawasan-kawasan hotspot banjir kilat sekitar ibu kota.
“Dengan kekuatan 10 orang bagi setiap kumpulan untuk melakukan kerja- kerja pengorekan scupper drain apabila banjir kilat berlaku,” katanya ketika sidang media.
Katanya lagi, DBKL juga akan menempatkan pam air mudah alih di kawasan hotspot banjir bagi memudahkan kerja memindahkan lebihan air yang bertakung ke kolam takungan banjir dan ke kawasan sungai yang paras airnya masih di bawah paras berjaga-jaga.
“Selain itu kerja-kerja membaiki dan melebarkan longkang sedia ada bagi memudahkan aliran air mengalir ke kawasan takungan air akan dilaksanakan, selain menaik taraf longkang tepi jalan dan longkang monsun.
“DBKL akan menyelenggara secara berterusan aset tebatan banjir seperti di 32 buah rumah pam banjir, 25 buah kolam takungan banjir terbuka, 8 buah kolam tahanan di tapak, 25 unit Gross Pollutant Trap, 119 unit trash screen, 19 unit floating boom dan mengorek kelodak di lapan buah sungai dan di 10 buah kolam,” jelasnya.
Sementara itu Shahidan berkata, DBKL juga telah merangka Kajian dan Konsepsi Mitigasi untuk mengatasi banjir kilat yang berlaku di baru-baru ini.
Kajian berkenaan antara lain meminimumkan impak urbanisasi terhadap persekitaran dan mengimbangi aspek sosial, ekonomi dan kesan persekitaran.
Dalam masa sama kajian tersebut dirangka bagi mengenal pasti hotspot di ibu kota secara terperinci selain sistem saliran sedia ada.
Kajian tersebut diwujudkan untuk mengenal pasti sistem saliran sedia ada yang tidak dapat menampung kapasiti air hujan.
Menurut Shahidan, DBKL melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) selaku perunding bagi menjalankan kajian berkenaan.
Beliau menjangkakan Kajian dan Konsepsi Mitigasi Banjir Kilat ini dijangka akan mengambil masa 12 bulan dan melibatkan lima fasa.- MalaysiaGazette