BENTONG – Sebanyak 23,894 kes kemalangan perjalanan yang melibatkan pencarum PERKESO dilaporkan sepanjang 2021 di mana 525 kes daripadanya melibatkan kemalangan maut.
Pengarah PERKESO Pahang, Ahmad Tarmizi Muktar berkata, secara puratanya setiap hari terdapat dua kematian melibatkan kemalangan semasa dalam perjalanan dari atau ke tempat kerja di negara ini.
“Manakala di Pahang pula, lebih kurang tiga peratus atau 813 kes kemalangan perjalanan telah dilaporkan. Daripada jumlah itu, lebih kurang lima peratus atau 25 kes adalah melibatkan kemalangan maut di negeri ini.
“Sektor industri pembuatan, perkhidmatan dan pertanian menjadi penyumbang tertinggi kepada kadar kemalangan ini,” katanya
Tambah Tarmizi, pada tahun 2021 juga menyaksikan anggaran antara RM700 hingga RM800 juta telah dibelanjakan oleh PERKESO untuk membayar faedah melibatkan kemalangan perjalanan seperti kematian, hilang upaya dan kecederaan.
“Kesan daripada kemalangan ini seperti kehilangan ahli keluarga, pekerja mahir dan rakan sekerja adalah tidak ternilai dan tidak dapat diganti dengan wang ringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa pelancaran Op Selamat 18 sempena Aidilfitri di Tol Bentong arah Timur hari ini yang dirasmikan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohd Yoosuf.
Sepanjang tempoh Ops Selamat pihaknya dimaklumkan polis akan menjalankan pemantauan di kawasan-kawasan yang kerap berlaku kemalangan.
Terdahulu, katanya, beberapa program lain turut telah dilaksanakan secara bersama dengan pihak PDRM seperti program Advokasi Pra Ops Selamat yang bermula sejak 21 April lalu. – MalaysiaGazette