BENTONG – Sebanyak 1.5 juta hingga empat juta kenderaan dijangka melalui jalan utama dan laluan tol di negeri ini sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, Plaza Tol Bentong merupakan antara laluan destinasi utama yang akan dilalui oleh jutaan kenderaan menuju ke Pahang dan Terengganu.
Justeru pengguna jalan raya diingatkan yang kenderaan yang banyak akan meningkatkan kesesakan aliran trafik sepanjang musim perayaan ini .
“Nyawa, harta benda dan keselamatan jalan raya antara yang ditekankan oleh pasukan keselamatan. Jutaan kenderaan akan menggunakan jalan raya dalam fenomena balik kampung pada tahun ini.
“Banyak kemalangan yang berlaku kerana sikap pemandu jalan raya seperti bersikap hilang sabar punca kesesakan,“ katanya.
Jelas Ramli lagi, apabila berlaku kemalangan jalan raya, ia juga menyebabkan kesesakkan aliran trafik.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran Op Selamat 18/2022 sempena Aidilfitri peringkat Kontinjen Pahang anjuran bersama antara PERKESO, dan ANIH Berhad di Tol Bentong di sini hari ini.
Pelancaran tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh.
Menurut Ramli, bagi Kontinjen Pahang, seramai 310 orang pegawai dan anggota di ditugaskan untuk menjalankan tugas Op Selamat 18/2022 ini.
“Operasi ini memfokuskan kepada usaha mencegah jenayah pecah rumah serta meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan ini,” katanya.
Bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’, Op Selamat bermula 29 April hingga 8 Mei 2022 peringkat negeri ini .
Untuk rekod, sebanyak 15,205 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya di Pahang sepanjang Op Selamat 17 dan sempena Tahun Baharu Cina selama 10 hari dijalankan.
Dalam tempoh tersebut, sebanyak 553 kes kemalangan melibatkan sebanyak 12 kes kemalangan maut dengan 16 kematian direkodkan di Pahang.- MalaysiaGazette