PETALING JAYA – Tidak semudah yang disangka apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia untuk berunding dengan mana-mana parti termasuk menyertai agenda ‘khemah besar’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun berkata, Bersatu perlu mengambil iktibar daripada gabungan parti pembangkang sebelum ini yang terbukti rapuh dan tumbang selepas 22 bulan menjadi kerajaan.
“Itu pilihan dia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tapi kita harus sedari bahawa tak semudahnya dia boleh kerjasama dengan semua pihak. Ini berdasarkan pengalaman di mana PH (Pakatan Harapan) 2.0 dulu.
“Janganlah jadi PH 2.0, maknanya satu pakatan yang rapuh, satu pakatan yang tidak selari dari segi ideologi dan juga dasar-dasar utama negara, tak mungkin kekal.
“Kalau pun berlaku tapi rakyat mesti faham bahawa masa depan mereka tidak terjamin kalau sekiranya satu pakatan yang tidak jujur sebenarnya,” katanya kepada pemberita di TH Hotel Kelana Jaya malam ini.
Pada Ahad lalu, Muhyiddin selalu Presiden Bersatu memberi bayangan parti itu bersedia menyertai agenda ‘khemah besar’ yang dibawa oleh blok pembangkang, apabila menyatakan kesediaan berunding dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU-15.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerjasama antara parti penting bagi memastikan saingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 sekali gus mengelak perpecahan undi.
Tambah Najib, khemah besar tidak lebih sekadar satu gabungan sekadar untuk mengambil kesempatan semata-mata untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
“Ia lebih merupakan satu pakatan yang opurtunistik mengambil kesempatan sahaja semata-mata nak meraih kemenangan.
“Tetapi asas untuk mereka tubuh satu kerajaan yang kukuh, vibal dan meyakinkan tidak akan menjadi kenyataan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette