Tangkap layar menunjukkan mangsa dipukul secara beramai-ramai di dalam kelas di sebuah sekolah di Langkawi, Kedah semalam.

LANGKAWI – Polis menahan 13 pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah menengah di daerah ini bagi membantu siasatan kes buli secara kekerasan seperti rakaman video tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kesemua yang ditahan itu merupakan pelajar yang terlibat dalam kejadian memukul dan memijak seorang pelajar dari sekolah yang sama.

Jelas beliau, tangkapan itu dilakukan antara pukul 12.30 tengah hari hingga 3 petang tadi membabitkan beberapa lokasi termasuk sekolah serta kediaman pelajar berkenaan.

“Setakat ini, kita dapati hanya 13 pelajar itu saja yang terlibat dalam insiden tersebut. Lima daripada yang ditahan merupakan rakan sekelas mangsa manakala lapan lagi daripada kelas berlainan.

“Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan termasuk merakamkan keterangan 13 pelajar tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, polis mengesahkan perselisihan faham punca seorang pelajar dipukul serta dipijak beramai-ramai oleh pelajar lain dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Kejadian itu terbongkar selepas satu rakaman video menunjukkan mangsa dipijak, tumbuk serta ditendang kira-kira 10 pelajar lain tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kejadian itu berlaku semalam dan laporan berkaitannya dibuat oleh mangsa hari ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis siasat video mangsa dibelasah sekumpulan 10 pelajar