Tangkap layar menunjukkan mangsa dipukul secara beramai-ramai di dalam kelas di sebuah sekolah di Langkawi, Kedah semalam.

LANGKAWI – Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden seorang pelajar di sebuah sekolah menengah, di sini, dipukul secara beramai-ramai kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya telah merakamkan percakapan 13 pelajar yang terlibat dalam insiden tersebut sebelum mereka dibebas dengan jaminan polis.

”Kesemua pelajar Tingkatan 4 itu dibebaskan hari ini.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Sekumpulan 13 pelajar ditahan bantu siasatan kes buli – Polis

MalaysiaGazette semalam melaporkan, perselisihan faham punca seorang pelajar dipukul serta dipijak beramai-ramai oleh pelajar lain dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini.

Kejadian itu terbongkar selepas satu rakaman video menunjukkan mangsa dipijak, tumbuk serta ditendang kira-kira 10 pelajar lain tular di media sosial.

Susulan itu, polis menahan 13 pelajar yang terlibat dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, tangkapan itu dilakukan antara jam 12.30 tengah hari hingga 3 petang membabitkan beberapa lokasi termasuk sekolah serta kediaman pelajar berkenaan.

Lima daripada yang ditahan merupakan rakan sekelas mangsa manakala lapan lagi daripada kelas berlainan. – MalaysiaGazette