Pasangan suami isteri didakwa atas pertuduhan rogol serta sebabkan kecederaan emosi terhadap seorang kanak-kanak perempuan di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang tukang rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan persetubuhan dan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya, antara Januari 2020 hingga 23 April lalu.

Tertuduh berusia 35 tahun itu mengaku bersalah atas tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norhayati Mohd Yunus.

Mengikut pendakwaan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak tirinya yang berusia 11 tahun 8 bulan.

Tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Perai Jaya di sini antara Januari 2020 hingga 23 April tahun ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, menerusi tiga lagi pertuduhan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman dan Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi kenam-enam pertuduhan Timbalan Pendakwa Raya memohon jaminan tidak diberikan ke atas tertuduh berikutan bimbang akan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan yang lain.

Kedua-dua hakim kemudian memerintahkan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh sebelum menetapkan 30 Mei depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan, laporan psikiatri dan laporan pusat temubual kanak-kanak (CIC).

Dalam pada itu, di hadapan Hakim Noorhayati, isteri tertuduh yang berusia 40 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan mengabaikan mangsa yang juga anak kandungnya sehingga menyebabkan kecederaan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam tempoh dan tempat yang sama.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-dua sekali.

Kes terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah dan tiada jaminan ditawarkan terhadap pekerja kedai tekstil itu atas alasan sama.

Kes akan disebut semula pada 31 Mei depan sementara menunggu laporan psikiatri mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast