Keadaan matahari ketika berlakunya Fenomena Gerhana Matahari pada waktu kemuncak sekitar jam 1.20 tengahari sebelum dilitupi awan tebal ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 DISEMBER 2019

PUTRAJAYA – Fenomena gerhana matahari separa yang akan berlaku di benua Antartika dan Amerika Selatan pada Ahad ini boleh disaksikan melalui saluran Youtube dan Facebook Planetarium Negara bermula 2.30 pagi, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Gerhana matahari separa iaitu kejadian gerhana pertama dalam tahun ini dijangka berlaku mulai 2.45 hingga 6.37 pagi.

Fenomena itu tidak dapat disaksikan secara terus dari mana-mana lokasi di Malaysia, menurut kenyataan MOSTI hari ini.

MOSTI menerusi Planetarium Negara akan membuat penstriman langsung bagi membawakan imej-imej gerhana itu secara langsung dari benua Antartika dan Amerika Selatan serta imej dari teleskop-teleskop berdekatan kawasan kejadian.

“Siaran langsung ini akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa pada kali ini kerana ia tidak dapat disaksikan secara terus dari mana-mana lokasi di Malaysia,” katanya.

Fenomena gerhana itu akan dimulakan dengan fasa separa pada 2.45 pagi waktu Malaysia dan mencapai litupan maksimum pada 4.41 pagi waktu Malaysia dengan peratus litupan matahari maksimum mencecah sehingga 64 peratus bergantung kepada lokasi pencerapan dan gerhana matahari separa ini dijangka berakhir pada 6.37 pagi waktu Malaysia.

MOSTI berkata, lokasi paling awal dapat menyaksikan fenomena gerhana matahari separa itu adalah di kawasan Lautan Pasifik diikuti dengan sebahagian benua Antartika sebelum berakhir di benua Amerika Selatan dan sebahagian Lautan Atlantik. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast