Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melihat replika bangunan rumah pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi Prima Astrum Ampang di Jelatek, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk memastikan satu rangka penyelesaian berikutan peningkatan kos binaan mendadak akibat konflik antara Rusia-Ukraine yang akan memberi kesan kepada harga rumah di negara ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan mencari penyelesaian terhadap masalah yang timbul selain memudahkan pembelian dan pemilikan rumah pada masa akan datang.

Menurut beliau, ini kerana kerajaan menyedari kediaman menjadi keperluan mendesak
bagi Keluarga Malaysia.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan MPMMN, langkah-langkah segera dan jangka panjang telah digariskan untuk menyelesaikan perkara ini.

“Ini adalah selari dengan usaha memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 dalam usaha mengelakkan mereka daripada menanggung beban kewangan yang berat.

“Langkah ini diperkukuhkan lagi dengan usaha-usaha sedia ada agensi-agensi Kerajaan lain seperti PR1MA misalnya, yang dapat menyumbang secara positif ke arah pemilikan rumah yang lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi PR1MA di Ampang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican .

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar anak muda yang memulakan kerjaya di ibu kota sentiasa berdepan dengan isu perumahan, terutamanya untuk memiliki kediaman selesa dan mempunyai akses pengangkutan serta kemudahan awam dalam lingkungan yang berdekatan.

Jelas beliau, kebanyakan kediaman yang dibangunkan ketika ini di luar kemampuan mereka yang baru sahaja memulakan pekerjaan.

Menurutnya, berdasarkan harga pasaran semasa, harga rumah semakin meningkat.

“Ditambah dengan kedudukan kewangan yang tidak kukuh, sukar untuk golongan ini memiliki rumah sendiri.

“Kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat. Justeru, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membuat perancangan untuk melaksanakan pembinaan kediaman baharu berkonsepkan transit atau ‘Transit Oriented Development’ (TOD).

“Kediaman TOD bukan sahaja memudahkan pergerakan anak muda ke tempat kerja tetapi juga membolehkan negara mencapai sasaran mengurangkan jejak karbon menjelang tahun 2030 selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG30),” katanya.

Sementara itu, Astrum Ampang merupakan sebuah projek pembangunan bercampur yang akan dibangunkan oleh Astrum Ampang Sdn. Bhd. manakala PR1MA bertindak sebagai pelabur dan rakan usaha sama.

Daripada keseluruhan projek, satu daripada empat fasa pembangunannya iaitu Residensi PR1MA dikhususkan bagi kediaman PR1MA dengan Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM180.80 juta.

Bagi projek ini, sebanyak 712 kediaman mampu milik berkonsepkan Small Office Home Office (atau SOHO) dan apartmen khidmat (atau service apartment) di bawah PR1MA akan ditawarkan pada harga RM250,000 dan RM270,000 dengan keluasan 450 kaki persegi dan 550 kaki persegi.

Selain harga mampu milik, pembeli turut menikmati pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, surau, gelanggang badminton dan taman permainan. Ini adalah satu tarikan untuk anak muda kita hari ini untuk memiliki kediaman ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast