Rohana Abdullah (bertudung kuning) tidak dapat menahan air matanya daripada berguguran apabila diumumkan menerima Surat Keputusan Kewarganegaraan di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Rohana Abdullah yang ditinggalkan ibunya ketika berusia dua bulan di sebuah tadika 22 tahun lalu menangis sebaik sahaja menerima Surat Keputusan Kewarganegaraan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini.

Menurut Hamzah, Rohana amat terharu dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan taraf kewarganegaraan kepada beliau.

“Dia (Rohana) ucapkan terima kasih kerana dapat status warganegara, saya katakan kepada beliau sebenarnya kita bukan beri kepada dia seorang, ramai lagi.

“Dia menangis kerana dia sudah tunggu lama dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) kena selidik semua perkara sebelum kita nak berikan taraf kewarganegaraan kepada sesiapa.

“Penyelidikan itu yang mengambil masa kadang kala cepat, kadang-kadang lambat terpulang kepada individu tertentu. Yang cepat kerana semua dokumen sudah lengkap dan yang dokumen yang tidak lengkap itu kadang-kadang memakan masa sehingga belasan tahun.

“Itu yang menyebabkan kekhilafan terhadap sesetengah orang yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat di negara kita,” kata Hamzah selepas menyerahkan Surat Keputusan Kewarganegaraan di KDN, hari ini.

Rohana merupakan antara 34 individu terdiri daripada 18 lelaki dan 16 perempuan yang menerima Surat Keputusan Kewarganegaraan, hari ini.

Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada kerajaan dalam sesuatu hak keadaan khas untuk mendaftarkan seseorang yang berusia kurang daripada 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara.

Bagaimanapun, para wartawan yang membuat liputan majlis tersebut gagal mendapatkan ulasan Rohana apabila beliau dan ibu angkatnya dibawa pergi oleh seorang wanita ketika majlis sedang berlangsung.

Rohana yang hadir bersama-sama ibu angkatnya Chee Hoi Lan, 83, dilihat meninggalkan KDN selepas itu.

Nama Rohana mendapat perhatian media apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjanji akan membantu beliau dengan menghubungi Jabatan pendaftaran Negara (JPN).

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Ismail Sabri kepada Rohana menerusi panggilan video yang dikongsi di Facebook Setiausaha Akhbarnya, Asyraf Afnan Ahmad Murtadza pada pertengahan Januari lalu.

Ismail Sabri berkata, beliau mengetahui mengenai kesulitan dialami Rohana selepas membaca mengenainya di akhbar.

Media sebelum ini melaporkan Rohana ditinggalkan ibunya, seorang warga Indonesia, dan dijaga hampir 20 tahun oleh Hoi Lan yang juga guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Rohana dilaporkan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pernah mengalami kebimbangan (anxiety) akibat masalah yang dihadapinya itu. – MalaysiaGazette