KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta di sini pada 8.43 malam ini, akibat sakit tua.
Allahyarham berusia 94 tahun.
Anak veteran UMNO itu, Tengku Farith berkata bapanya yang mesra disapa Ku Deen mengalami strok dua minggu lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan discaj.
Tengku Farith berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Wilayah Jalan Duta 8.30 pagi esok (30 April), untuk dimandikan dan solat jenazah di masjid itu.
Bagaimanapun, katanya lokasi pengebumian masih belum diputuskan sama ada di Masjid Negara atau Bukit Kiara.
Allahyarham kemudian menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negara (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai Menteri Luar Negara (1984) dan Menteri Maklumat (1986).
Sebelum itu, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada 1970 dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1972.
Dalam arena politik, Allahyarham merupakan bekas Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO pada 2001 dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1987).
Bekas Pengerusi UMNO Kelantan itu juga merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang pada 1973 selain bekas Presiden Majlis Pengelola Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMA).
Jasanya dalam bidang pendidikan pula ialah sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1992 selain sempat mencurah bakti dalam bidang sukan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1988.
— BERNAMA