KUALA LUMPUR – Sempena Hari Pekerja yang disambut hari ini, rata-rata pekerja melahirkan rasa syukur kerana masih dapat bertugas terutama pada musim pandemik Covid-19 setelah banyak pekerja diberhentikan.
Seorang pekerja swasta, Siti Zaleha Zulkifli, 23, menzahirkan kelegaannya setelah diberi peluang pekerjaan walaupun baru menamatkan pelajaran.
“Sebelum ni saya pelajar, sekarang baru bekerja dan saya akui sangat susah nak cari kerja.
“Banyak cabaran saya lalui dengan syarat kelayakan yang diminta agak tinggi dan perlu ada pengalaman kerja bertahun-tahun,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman hari ini.
Tambah Zaleha, beliau berharap para majikan dapat memastikan kebajikan pekerja dijaga dengan baik.
“Saya harap para majikan dapat jaga kebajikan pekerja, tidak terlalu membebankan pekerja dengan tugas yang banyak sedangkan gaji yang diberi sedikit,” ujarnya.
Seorang lagi pekerja swasta, Anwar Mokhtar, 37, turut berkongsi pesanannya agar semua pekerja sentiasa cekal menempuh cabaran dan tekanan di tempat kerja.
“Saya harap semua pekerja jangan mengalah dan terus berusaha. Memang banyak tekanan di tempat kerja, maka uruslah dengan teliti. Bagi yang sudah dapat bekerja semula, jaga periuk nasi sebaik mungkin,” katanya.
Berbeza dengan pendapat seorang pekerja swasta, Muhammad Nazaruddin Abdullah, 34, yang berharap majikan lebih mengutamakan pengkhususan berbanding multitasking.
“Sekarang banyak majikan lebih pilih pekerja yang multitasking berbanding pekerja yang ada specialiazation. Bagi saya bila terlalu fokus kepada multitasking, bidang yang kita pakar akan hilang dan hasil kualiti kerja menurun,” ulasnya. – MalaysiaGazette