KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat beberapa ketetapan baharu selaras dengan pengumuman kerajaan berkaitan kelonggaran Prosedur Operasi Standrad (SOP) di masjid dan surau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail dalam satu kenyataan berkata, lapan kelonggaran SOP akan berkuatkuasa 2 Mei ini.
Antaranya adalah pemansuhan daftar masuk dengan mengimbas kod QR MySejahtera di masjid dan surau.
“Penggunaan sejadah sendiri juga dimansuhkan dan tidak perlu lagi penjarakan fizikal antara jemaah dalam semua keadaan di masjid dan surau.
“Selain itu, kemasukan ke masjid dan surau dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi kecuali jemaah yang berstatus ‘Berisiko Tinggi’ atau di bawah Home Surveillance Order (HSO),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, setiap jemaah masih diwajibkan memakai pelitup muka ketika berada di dalam masjid dan surau yang tertutup.
“Namun, ketika berada di kawasan terbuka dan di luar masjid dan surau, jemaah tidak diwajibkan memakai pelitup muka. Jamuan di masjid dan surau dibenarkan dengan apa-apa cara penyediaan makanan.
“Jemaah dibenarkan bersalaman namun tidak dibenarkan menyentuh muka selepas bersalaman dan hendaklah sentiasa mencuci tangan selepas berbuat demikian,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, aktiviti ziarah dan takbir hari raya dari rumah ke rumah anjuran masjid dan surau dibenarkan.
“Semoga dengan kelonggaran SOP ini, lebih ramai umat Islam dapat hadir mengimarahkan masjid dan surau di kariah masing-masing dan mengekalkan momentum ibadah Ramadan menjelang Syawal yang bakal tiba,” ujarnya. – MalaysiaGazette