KUALA LUMPUR – Penyanyi Yantzen meluahkan rasa syukur kerana dapat membaiki sebahagian rumahnya yang rosak teruk akibat banjir pada Disember lalu untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Bekas vokalis kumpulan rock Rusty Blade dan May itu terharu kerana ramai yang tampil sumbangan yang membolehkan dia menyiapkan bilik untuk anaknya serta tetamu terlebih dulu di rumahnya di Taman Sungai Serai Tambahan, Batu 12, Hulu Langat.
Yantzen, 63, perlu mengutamakan keperluan anak dan tetamu terlebih dahulu walaupun biliknya masih tidak dibaiki lagi.
“Sumbangan memang tidak putus-putus untuk membantu kami mangsa banjir ketika dan dan dari sumbangan itu saya beli almari untuk bilik anak dan siapkan bilik untuk tetamu manakala bilik saya memang tidak dibuat apa-apa.
“Apabila anak saya balik sini bila-bila masa atau tetamu datang, mereka bolehlah gunakan bilik ini. Saya memang siapkan untuk mereka dahulu,” katanya ditemui di majlis berbuka puasa Galaxy Merchant M S.B di sini baru-baru.
Pada kejadian pada 18 Disember itu, Yantzen diselamatkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas sehari terperangkap di atas bumbung rumahnya yang ditenggelami air.
Yantzen juga ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat.
Dia berkata, banjir yang melanda kawasan kediamannya itu menyebabkan rumahnya rosak teruk dan kemusnahan harta benda itu adalah sejarah yang tak akan dilupakannya.
Yantzen yang sudah lima tahun tinggal di situ juga tidak bercadang untuk berpindah ke rumah baharu kerana rumah itu dibina untuk anak lelakinya, Alif Ronan, 23.
“Satu pengalaman banjir yang cukup luar biasa dan saya pertama kali berdepan situasi ini kerana air naik hingga lima kaki. Kerugian susah nak cakap membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal. Perabot pun semua habis.
“Kereta saya masih tidak dibaiki dan terus scrap. Daripada baiki baiklah saya cari kereta lain. Bantuan saya terima dari kerajaan dan pelbagai pihak keseluruhannya berjumlah RM10,000.
“Namun saya tidak panik sekiranya hujan lagi selepas ini kerana jarak rumah saya kira-kira 800 meter dari sungai. Saya terima dan reda ujian Allah,” katanya.
Bercerita mengenai lagu Kerinduan, Yantzen berkata, ia dihasilkan pada saat akhir atas permintaan Pengarah Urusan Galaxy Merchant M S.B, Datuk Rosli Buang.
“Dalam tempoh dua hari, saya dapat ilham untuk menghasilkan melodi dan kemudian liriknya. Ia akhirnya siap dalam sekitar dua minggu akhir Ramadan ini,” katanya. – MalaysiaGazette