Peniaga santan di Pasar Bayan Baru, Pulau Pinang tanggung rugi susulan pelanggan batalkan tempahan di saat akhir.

GEORGE TOWN – “Saya terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit susulan pelanggan membatalkan tempahan mereka di saat akhir memandangkan Hari Raya Aidilfitri disambut awal sehari daripada tarikh jangkaan.”

Itu luahan salah seorang peniaga santan di Pasar Bayan Baru di sini hari ini.

Roziah Roseli, 38, berkata, pengumuman sambutan Hari Raya Aidilfitri jatuh hari ini amat mengejutkan sekali gus membuatkan dia buntu memikirkan lambakan kelapa dan santan di premisnya.

“Tempahan daripada pembekal tiba awal pagi dan saya tidak boleh kembalikan semula barang ini kepada mereka sekali gus menyebabkan saya perlu menanggung kerugian sepenuhnya.

“Kami peniaga santan di pasar bukannya dapat banyak tempahan pada hari biasa jadi bila musim perayaan baru nak rasa untung lebih sebab tempahan meningkat namun semua impian itu meleset.

“Saya tak boleh salahkan pelanggan kerana pengumuman raya ini berlaku di luar jangkaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Roziah, ini merupakan kali pertama dia berdepan situasi begini sepanjang 15 tahun bergelar pengusaha santan di pasar tersebut.

“Bukan saja tanggung rugi malah persiapan raya keluarga saya tahun ini juga tergendala disebabkan kami perlu membuka kedai seawal pukul 4.30 pagi.

“Teruja nak sambut raya selepas pandemik Covid-19 tetapi yang berlaku adalah di sebaliknya,” kata Roziah.

Terdahulu tinjauan MalaysiaGazette mendapati pasar awam itu lenggang tanpa pelanggan manakala hanya beberapa gerai membuka operasi perniagaan hari ini.

Keadaan pasar awam Bayan Baru lenggang hari ini.

Antara gerai yang dibuka membabitkan santan, ayam segar, sayur-sayuran. Bagaimanapun rata-rata peniaga ikan didapati tidak berniaga susulan pasar tersebut dikatakan selalunya tidak pelanggan pada hari raya pertama.

Sementara itu, peniaga ayam segar, Muhammad Muzamir Mohd Fauzi, 28, mereka menempah 700 ekor ayam hari ini untuk dijual kepada pelanggan.

Muhammad Muzamir.

“Selalunya sehari sebelum raya memang banyak pelanggan akan datang membeli ayam tapi kali ini semua itu meleset sebaliknya yang datang hari ini kebanyakkan pelanggan sudah membuat tempahan semalam.

Peniaga perlu pastikan tempahan 700 ekor ayam segar terjual hari ini.

“Bagaimanapun saya kena pastikan semua ayam segar itu terjual hari ini memandangkan kami akan menutup perniagaan selama lima hari sempena perayaan ini,” jelasnya yang mengusahakan perniagaan bapanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ohhhh….hila rugi cerita, bila untung senyap. Cerita raya 1 hari awal buka salah sesiapa, makanya jgn salahkan kenapa raya 1 hari awal. Sebaiknya puan kena mengaji elok², fahamkam agama ini. Belajar ilmu falaq….baru boleh cerita.

Comments are closed.