KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa syukur dan gembira apabila masjid-masjid di seluruh negara mula dipenuhi jemaah bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.
“Saya gembira apabila masjid-masjid di seluruh negara pagi ini dipenuhi dengan jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ahli keluarga dan sahabat handai setelah dua tahun tidak dapat melakukannya kerana Covid-19,” katanya dalam Twitter hari ini.
Semua umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri secara meriah hari ini.
Malah solat sunat Aidilfitri yang diadakan juga sudah tidak mengenakan penjarakan sosial.
Bagaimanapun masih mengamalkan penggunaan pelitup muka sebagai Prosedur Operasi Standard (SOP).
Solat sunat itu dilaksanakan mengikut ketetapan baharu berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di masjid serta surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan, berkuat kuasa hari ini selaras pengumuman kerajaan berkaitan kelonggaran SOP di masjid dan surau.
Ketetapan itu antara lain membabitkan beberapa pemansuhan meliputi imbasan kod QR MySejahtera untuk daftar masuk ke masjid dan surau, penggunaan sejadah sendiri serta penjarakan fizikal antara jemaah dalam semua keadaan di masjid dan surau.
Selain itu, kemasukan ke masjid dan surau dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi kecuali jemaah yang berstatus ‘berisiko tinggi’ atau bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
Seterusnya, pemakaian pelitup muka diwajibkan di dalam masjid dan surau yang tertutup namun tidak diwajibkan di kawasan terbuka atau di luar dari kawasan itu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menggesa rakyat Malaysia yang ingin pulang ke kampng halaman hari ini agar berhati-hati ketika dalam perjalanan.
“Jika ada yang dalam perjalanan pulang ke kampung, pandulah dengan cermat agar dapat bertemu dengan ahli keluarga dan sanak saudara.
“Marilah kita ambil keberkatan bulan Syawal untuk kita bermaaf-maafan dan merapatkan ukhuwah Keluarga Malaysia,” nasihat Ismail Sabri.
Ismail Sabri pagi tadi meluangkan masa menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Masjid Negara. – MalaysiaGazette