Gambar hiasan

BARU-baru ini negara kita digemparkan dengan video pemasaran yang tular dan menjadi perbualan segenap lapisan masyarakat dan telah turut meraih respons daripada asatizah negara.

Penyiaran video yang melibatkan seorang ahli perniagaan terkenal yang memasukkan elemen yang bercanggah dengan adat dan budaya masyarakat Melayu yang beragama Islam, ditambah dengan liuk lenggok dan percampuran di antara lelaki dan perempuan tanpa batasan adalah amat menyedihkan terutama sekali apabila ianya disiarkan di dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Bulan yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai nikmat dan peluang kepada manusia untuk berehat daripada kehidupan duniawi dan meningkatkan ibadat telah dicemari oleh penghasilan video yang kononnya lagu raya. Penghayatan Ramadan yang cuba ditekankan oleh pelbagai pihak termasuk dari peringkat tempatan seperti surau dan masjid sehingga ke peringkat nasional seperti siaran di kaca televisyen ternyata masih belum berjaya dihayati.

Disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Begitulah keadaan di mana segala kebaikan yang cuba dilakukan tenggelam dan musnah dek kerana perlakuan segelintir masyarakat yang mencemarkan kesucian Ramadan. Yang paling merisaukan adalah semakin banyak video dan aksi yang tular di media sosial merupakan aksi yang menjatuhkan maruah seseorang sebagai Muslim. Maksiat semakin berleluasa dan perkara sebegini semakin dianggap biasa dan seolah-olah semakin diterima oleh masyarakat Melayu.

Bangsa Malaysia yang kaya dengan adat-adat ketimuran yang dahulunya dibangga-banggakan oleh orang Barat telah tenggelam dengan kemasukan budaya asing yang tidak selari dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh itu amat penting bagi penguatkuasaan media sosial supaya diperketatkan agar budaya Islam dan adat ketimuran yang menjadi pegangan selama ini tidak dicemari oleh perlakuan mereka yang berkepentingan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 148; “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblatnya sendiri) yang mereka menghadap ke arahnya (ketika solat).

Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Berlumba-lumbalah kita dalam membuat kebaikan. Buatlah perkara baik yang dapat dicontohi oleh orang lain. Gunakan kelebihan yang Allah bagi kepada kita untuk menjadi punca penyebaran kebaikan bukan sebaliknya. Jangan habuan dunia menyebabkan kita menggadai agama dan budaya yang kita pegang selama ini. Wallahualam

Oleh: Prof Madya Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah, USIM &

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar,
Setiausaha WARAK PAPISMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast