Najib melayan Abu Kassim yang hadir ke rumah terbukanya,

KUALA LUMPUR – ‘Ketegangan’ hubungan UMNO dan Pas tidak menghalang pemimpin daripada kedua-dua parti menjalinkan hubungan baik di peringkat negeri.

Di Pekan, Pahang pemimpin Pas hadir ke rumah terbuka sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berlangsung dirumahnya di Seri Kenangan.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, kedatangan pemimpin Pas termasuk Yang Dipertua Pas Pekan, Abu Kassim Manaf telah memeriahkan majlis hari raya yang dianjurkannya.

Najib yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Pekan berharap agar mereka dapat melangkah ke hadapan bersama-sama demi kepentingan rakyat.

“Rumah terbuka hari ini amat meriah. Kehadiran kawan-kawan dan kepimpinan Pas juga menyerikan suasana sambutan raya.

“Salam Aidilfitri kepada Ustaz Haji Abu Kassim YDP Pas Pekan dan rakan-rakan semua.

“Semoga kita terus melangkah ke depan bersama-sama, mengutamakan kebajikan rakyat sentiasa,” katanya.

Najib turut berkongsi foto beliau duduk semeja dengan Abu Kasim dan menghulurkan mangkuk nasi kepada pemimpina Pas tersebut di Facebooknya.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 hubungan UMNO dan Pas amat akrab sehingga kedua-dua parti itu berjaya membentuk persefahaman sekali gus mewujudkan Muafakat Nasional.

Bagaimanapun hubungan kedua-dua parti yang berteraskan orang Melayu dan Islam itu diuji selepas terbentuknya Kerajaan Perikatan Nasional bersama-sama Bersatu serta beberapa parti yang lain.

UMNO tidak mahu bekerjasama dengan kepimpinan Bersatu dalam pilihan raya akan datang sementara Pas mahu mengekalkan kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tersebut.

Ketegangan hubungan UMNO dan Pas dapat dilihat ketika pilihan raya negeri Sabah, Melaka dan Johor berlangsung sebelum ini.

Sementara itu melalui perkongsian di media sosial, rumah terbuka yang dianjurkan oleh Najib turut dihadiri oleh masyarakan berbilang kaum.

Menurut Najib, beliau merindui suasana tersebut yang tidak dapat dirasai selama dua tahun susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang virus maut Covid-19.

“Pagi semua! Raya kedua hari ni. Dah ada plan tak? Datanglah ke rumah saya di Seri Kenangan Pekan. Ramai juga dah ada sini.

“Melihat masyarakat berbilang kaum, anak-anak kecil bergembira, menyambut perayaan bersama-sama di sini. Betul betul rindulah dua tahun tak jumpa semua,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast