Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Perantau yang pulang ke Kedah bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dinasihatkan berhati-hati di jalan raya susulan kadar kemalangan maut dalam tempoh lima hari Ops Selamat 18 mencatatkan angka yang tinggi.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, 422 kemalangan direkodkan berlaku di negeri ini dengan lima membabitkan kemalangan maut.

“Saya berasa amat sedih dan bimbang dengan kadar kemalangan termasuk kemalangan maut yang agak tinggi termasuk di negeri ini sejak Ops Selamat 18 dilancarkan sejak 29 April lalu.

“Bagi saya, angka ini agak tinggi jika kita nilai dari perspektif keselamatan, kesan sosial dan juga impak yang ditanggung oleh individu berkenaan dan juga keluarga.

“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan rakyat Kedah termasuk perantau yang pulang berhari raya di kampung supaya lebih berhati-hati di jalan raya pada musim perayaan ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ujar Muhammad Sanusi, pertambahan mendadak jumlah kenderaan di negeri ini juga mungkin menjadi penyebab kepada risiko peningkatan kadar kemalangan.

“Saya memahami bahawa hari raya kali ini agak istimewa bagi kita semua setelah dua tahun tidak dapat balik kampung raikan bersama keluarga dan rakan-rakan namun jangan terburu-buru ketika memandu demi keselamatan diri dan keluarga.

“Selain itu, walaupun kita berada dalam suasana peralihan ke fasa endemik, jangan mengambil risiko dengan mengabaikan SOP walaupun kita telah banyak diberikan kelonggaran oleh kerajaan,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast