Seorang wanita menjalani ujian saringan susulan peningkatan kes Covid-19 di Beijing. - Foto Getty Images

BEIJING – Beijing, menutup berpuluh-puluh stesen metro dan laluan bas dalam kempennya untuk menghentikan penyebaran Covid-19 dan mengelak nasib ibu kota China itu seperti Shanghai yang mana berjuta-juta penduduknya diletakkan di bawah perintah berkurung yang ketat selama lebih satu bulan.

Lebih daripada 40 stesen kereta api bawah tanah, kira-kira satu per sepuluh daripada rangkaian dan 158 laluan bas telah dihentikan, kata penyedia perkhidmatan.

Kebanyakan stesen dan laluan yang digantung adalah di daerah Chaoyang, pusat wabak Beijing.

Dengan berpuluh-puluh kes baharu sehari, Beijing cuba mengelak sekatan penuh, seperti yang dilakukan Shanghai.

Beijing juga berharap ujian saringan besar-besaran akan mengekang wabak itu daripada merebak.

Ibu kota ini tang mempunyai 22 juta penduduk telah menutup sekolah, beberapa perniagaan dan bangunan kediaman yang terletak di kawasan berisiko tinggi.

Kebanyakan penduduk mula membeli barang makanan sebagai persediaan jika sekatan pergerakan dilaksanakan.

Bandar berpenduduk 22 juta orang itu telah menutup sekolah serta beberapa perniagaan dan bangunan kediaman di kawasan berisiko tinggi, dan ramai orang membuat simpanan sekiranya berlaku penutupan penuh.

Sebanyak 12 daripada 16 daerah Beijing menjalankan ujian kedua daripada tiga kali saringan minggu ini, setelah melakukan tiga saringan besar-besaran minggu lepas.

Di Shanghai, setakat ini tidak diketahui bila sekatan akan berakhir.

Selepas lebih sebulan, kebanyakan orang di bandar terbesar di China dan pusat kewangannya masih tidak dibenarkan meninggalkan kawasan perumahan mereka.

Sebahagian daripada 25 juta penduduk Shanghai mengambil kesempatan kelonggaran sementara yang diberikan sejak Ahad lalu keluar untuk bersiar-siar, menghirup udara segar dan sedikit membeli-belah di pasar raya.

Menurut data terkini, Shanghai menemui 63 kes baharu di luar kawasan di bawah sekatan paling ketat, menunjukkan bandar itu mempunyai cara untuk mencapai matlamat tiada kes selama beberapa hari lagi sebelum sekatan boleh dilonggarkan. – Reuters