Gambar hiasan

JEMPOL – Harga nasi goreng kosong dan telur berjumlah RM6 menjadi punca pergaduhan dalam sebuah restoran di sini semalam.

Kejadian pada pukul 1 pagi itu dipercayai berlaku selepas juruwang wanita dalam restoran tersebut meninggikan suara selepas pelanggang yang juga wanita mempertikaikan harga yang dikenakan terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, anak wanita berkenaan menjadi berang selepas ibunya diperlakukan begitu oleh juruwang terbabit.

“Juruwang restoran itu telah meninggikan suara kepada wanita terbabit yang mempertikaikan harga nasi goreng kosong dan telur berharga RM6.

“Situasi itu menyebabkan anak wanita itu berasa berang dan mengambil kotak tisu lalu membaling ke arah juruwang sehingga terkena barang-barang di atas kaunter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan anak wanita berkenaan yang membaling kotak tisu kemudiannya mencetuskan perasaan tidak puas hati salah seorang pekerja restoran berkenaan.

Menurut Chang Hook, pekerja berkenaan terus menumbuk anak wanita terbabit sebelum kejadian itu dileraikan oleh pekerja lain dan pelanggan yang berada dalam restoran berkenaan.

Ujarnya, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi di laman Twitter berikutan video kejadian yang disebarkan.

Menurutnya tindakan itu boleh menganggu siasatan dan ketenteraman awam.

Chang Hook turut menafikan polis campur tangan dalam menyelesaikan kes itu ‘secara tepi’, sebaliknya pihaknya mengambil tindakan mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Restoran itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi ia tidak berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette