Lira, matawang Turki. Foto Reuters

ANKARA – Harga pengguna di Turki melonjak hampir 70% pada April berbanding setahun lalu, mencecah paras tertinggi dalam dua dekad.

Pengangkutan, harga makanan dan kelengkapan isi rumah mencatatkan kenaikan paling ketara dalam inflasi tahunan, dengan kos pengangkutan meningkat dua kali ganda sepanjang tahun.

Negara-negara di seluruh dunia sedang berhadapan dengan krisis kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tetapi masalah Turki menjadi lebih teruk disebabkan keengganan presidennya untuk menaikkan kadar faedah – kaedah yang biasa digunakan untuk membantu meredakan inflasi.

Kos makanan dan minuman bukan alkohol menyaksikan peningkatan tahunan sebanyak 89.1%, manakala perabot dan kelengkapan rumah meningkat 77.64%.

Pada asas bulanan, harga melonjak 7.25% pada bulan April, menurut data dari Institut Statistik Turki.

Turki telah menyaksikan kejatuhan nilai lira, kerana Presiden Recep Tayyip Erdogan mengutamakan eksport berbanding kestabilan mata wang.

Erdogan telah menyifatkan kadar faedah sebagai “punca segala kejahatan,” dan telah menggunakan lebih banyak dasar yang tidak lazim untuk cuba melembapkan harga termasuk campur tangan dalam pasaran pertukaran asing.

Menghadapi tekanan daripada Presiden Turki, bank pusat negara itu telah mengurangkan kadar kepada 14% daripada 19% sejak September.

Pada April lalu  ia mengekalkan kadar stabil untuk bulan keempat berturut-turut, walaupun inflasi melonjak.

Charlie Robertson, Ketua Eonomi Global di Renaissance Capital berkata, gangguan yang disebabkan oleh perang di Ukraine menyumbang kepada harga yang lebih tinggi, termasuk untuk makanan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebanyakan sebab asas inflasi tinggi berpunca daripada “dasar monetari Turki yang sangat ganjil”.

Tetapi Jason Tuvey, pakar ekonomi pasaran baru muncul di Capital Economics berkata: “tiada tanda-tanda bahawa penggubal dasar akan mengubah taktik dan menaikkan kadar faedah” dan meramalkan inflasi akan kekal sekitar kadar tinggi semasa untuk sebahagian besar tahun ini.

Harga meningkat dengan cepat di seluruh dunia disebabkan beberapa faktor termasuk kekurangan bekalan berkaitan Covid-19 dan perang Ukraine, yang telah mendorong harga tenaga dan makanan lebih tinggi.

Banyak negara telah bertindak balas dengan menaikkan kadar faedah untuk menggalakkan orang ramai dan syarikat meminjam dan berbelanja lebih sedikit dengan tujuan mengehadkan inflasi.

Bank of England telah menaikkan kadar faedah ke paras tertinggi sejak 2009 manakala pada hari Rabu Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengumumkan kenaikan kadar terbesarnya dalam lebih dua dekad.

Negara-negara termasuk India dan Australia juga telah menaikkan kos pinjaman. – BBC (https://www.bbc.com/news/business-61332272)