Kampung Telok, Bukit Katil antara kawasan yang terjejas dalam kejadian banjir kilat di Melaka hari ini.

MELAKA – Hujan lebat selama satu jam bermula 7 pagi tadi mengakibatkan sekurang-kurangnya 18 kawasan sekitar Melaka Tengah terjejas akibat banjir kilat selain beberapa rumah penduduk turut ditenggelami air.

Antara 18 kawasan terlibat adalah Sungai Putat, Banda Kaba, Banda Hilir, Jalan Ong Kim Wee, Jalan Tun Ali, Melaka Baru, Jalan Kubu, Batu Berendam, Melaka Sentral, MITC Ayer Keroh, Batu Hampar, Kampung Hulu, Taman Cempaka, Bukit Beruang Bestari dan Kampung Telok.

Sementara itu, Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Melaka Tengah, Kapten (PA) Awang Bohari Awang Ahet dalam satu kenyataan berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 10 pagi tadi dari sembilan kawasan yang dilaporkan terjejas.

“Hujan lebat sejak pagi tadi mengakibatkan air sungai melimpah pada jam 7 pagi ke kawasan rumah penduduk yang rendah berdasarkan maklumat orang ramai dan pemantauan anggota APM.

“Bagaimanapun, sehingga jam 10 pagi tiada pusat pemindahan dibuka daripada tujuh kawasan yang dilaporkan terjejas, sebaliknya penduduk hanya keluar dan tunggu di bahu jalan sehingga air surut kerana hujan juga telah berhenti,” katanya.

Sungai Putat antara sembilan lokasi dilaporkan APM terjejas dalam kejadian banjir kilat di Melaka hari ini

Tambahnya, antara kawasan yang dilaporkan ditenggelami air adalah Kampung Telok, Bukit Katil, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Sungai Putat, Bukit Cina, Taman Peringgit Ria, Batu Hampar, kawasan Ayer Keroh, Kampung Pengkalan Rama Pantai, Kampung Mata Kuching

Jelasnya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa daripada agensi berkaitan termasuk penghulu, penduduk kampung dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. – MalaysiaGazette