NAM DINH – Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan (B-23) Brad Maloney enggan terbuai dengan kemenangan 2-1 ke atas Thailand dalam acara bola sepak lelaki Kumpulan B pada temasya Sukan SEA ke-31 di Stadium Thien Truong di sini malam tadi.
Jurulatih berusia 50 tahun kelahiran Australia itu berkata, adalah terlalu awal untuk bercakap mengenai peluang pasukannya mara ke separuh akhir atau final.
“Keputusan positif (menang ke atas Thailand) untuk kami malam ini (tadi), tetapi sudah tentu kami perlu terus fokus untuk (perlawanan) kumpulan, sebelum memikirkan perkara lain,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan itu di sini.
Pada pertembungan malam tadi, Thailand membuka jaringan pada minit ke-33 selepas penyerang Patrik Gustavsson memanfaatkan kekalutan dalam kotak penalti sebelum terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan Jonathan Khemdee dilayangkan kad merah oleh pengadil.
Peluang itu digunakan oleh anak buah Maloney untuk bangkit dan mengutip tiga mata pada separuh masa kedua menerusi jaringan penyamaan Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-61 sebelum Muhammad Nur Azfar muncul wira negara selepas mengesahkan kemenangan Malaysia pada jaringan saat akhir.
Mengulas mengenai insiden kad merah, Maloney berkata, ia tidak menjadikan permainan itu mudah bagi skuad kendaliannya yang mempamerkan semangat juang tinggi sehingga hujung perlawanan.
“(Mengenai) kad merah, saya percaya ia wajar walaupun 10 lawan 10 kami ketinggalan dengan satu gol, saya percaya kami masih berada dalam permainan dan mengawal kawasan kedudukan yang luas. Ia sesuatu yang sukar apabila pasukan kehilangan seorang pemain, tetapi ia menjadi tanggungjawab kami untuk memanfaatkannya,” katanya.
Sementara itu, Maloney berkata terdapat beberapa kecederaan dan lebam dalam kalangan pemainnya selepas perlawanan malam tadi dan berharap kesemua mereka dapat kembali ke tahap kecergasan terbaik sebelum berhadapan Laos pada 11 Mei di Stadium Thien Truong.
Selepas itu, skuad kebangsaan akan bertemu Singapura pada 14 Mei dan menamatkan pusingan kumpulan menentang Kemboja dua hari kemudian di venue sama dalam usaha untuk muncul dua pasukan teratas bagi melayakkan diri ke separuh akhir. – MalaysiaGazette