PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyiasat dakwaan terdapat aktiviti ejen sebuah syarikat yang memperdaya pelanggan menerusi kempen saringan darah dengan mengenakan bayaran serendah RM10.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya tidak mahu lebih ramai warga emas diperdaya oleh ejen-ejen palsu seperti itu.
Katanya, tindakan segera perlu diambil dan pihak yang didapati bersalah perlu dikenakan tindakan.
“Kita kena siasat, tapi saya belum sempat lagi baca laporan berita tersebut. Apapun kempen kesihatan yang dikenalpasti palsu mesti disiasat dan dikenakan tindakan segera.
“Kita tidak mahu rakyat terutama warga emas terpedaya dengan kempen atau skim seumpama ini. Tindakan tegas akan dikenakan jika didapati bersalah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet di Laman Sari, Seri Perdana di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan aktiviti sebuah syarikat yang didakwa cuba memancing pelanggan terutama warga emas untuk membeli pelbagai produk suplemen keluaran mereka yang dijual pada harga ribuan ringgit.
Dalam pada itu, Khairy menegaskan, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dikenakan terhadap syarikat terbabit sekiranya didapati benar-benar melakukan kesalahan tersebut.
Bagaimanapun jelas beliau, tindakan-tindakan itu berdasarkan kepada kesalahan yang dilakukan dan siasatan akan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu ditanya mengenai sambutan rumah terbukan berkenaan, Khairy gembira kerana dapat melihat ramai pengunjung yang datang ke rumah terbuka pada hari ini.
Ia adalah satu kejayaan selepas negara berjaya dibawa ke fasa peralihan dan yakin rakyat Malaysia akan terus bewaspada.
“Alhamdulillah ramai ahli Keluarga Malaysia hadir rumah terbuka hari ini.
“Saya selaku Menteri Kesihatan sangat gembira dapat melihat rakyat negara iniĀ menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas dua tahun tidak meraikannya.
“Kita dapat raikan dengan cara yang kita tidak dapat buat selama dua tahun…ini adalah satu kejayaan negara kita di mana kita telah berjaya membawa negara ke fasa peralihan,” tambahnya. – MalaysiaGazette