Nur Dhabitah dan Kimberly Bong Qian Ping menunjukkan pingat emas dan perak yang dimenangi mereka.

HANOI – Persembahan cemerlang atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri dalam saingan final acara 1 meter (m) papan anjal individu wanita menghadiahkan Malaysia pingat emas pertama Sukan SEA ke-31 di Pusat Akuatik My Dinh di sini, hari ini.

Ia juga adalah acara yang menawarkan pingat emas pertama sebelum upacara pembukaan rasmi yang dijadual berlangsung Khamis ini.

Nur Dhabitah yang telah memenangi empat pingat emas sepanjang penyertaannya di temasya sukan dwitahunan itu, berjaya menambah koleksi emasnya selepas mengumpul 290.45 mata dalam lima terjunan.

Lebih membanggakan, Malaysia berjaya menamatkan saingan itu dengan kedudukan podium 1-2 selepas atlet muda, Kimberly Bong Qian Ping berjaya merangkul pingat perak dengan kutipan 230.00 mata.

Pingat gangsa dimenangi atlet tuan rumah Ngo Phuong Mai yang mengutip 224.00 mata.

Dalam pada itu, Nur Dhabitah berpeluang merangkul pingat emas keenamnya apabila bakal bergandingan dengan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg dalam acara 10m platform seirama pada Rabu ini di venue sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast