Brad Maloney

PETALING JAYA – Kemenangan dramatik yang dilakar skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara ke atas Thailand perlu ‘dibayar’ dengan harga mahal selepas mereka kehilangan dua pemain susulan kecederaan dialami mereka.

Perkembangan itu disahkan pengendalinya, Brad Maloney apabila dua pemainnya berkemungkinan tidak dapat diturunkan untuk aksi berdepan Laos.

Kedua-dua mereka adalah Azam Azmi Murad dan Hairiey Hakim Mamat.

“Azam mengalami konkusi tetapi mujurlah tidak begitu serius. Kita akan terus melihat perkembangannya dengan mengikut protokol.

“Kita akan memantau perkembangannya untuk sekurang kurangnya tujuh hari dan kita akan lihat apa akan terjadi selepas itu.

“Buku lali Hairiey masih bengkak tetapi dia sedang menjalani pemulihan. Saya tidak pasti jika dia boleh diturunkan untuk perlawanan seterusnya.

“Kita akan cuba yang terbaik dan kita pun tidak mahu mengambil risiko seandainya dia tidak mampu untuk bermain,” kata Maloney.

Untuk rekod, kemenangan ke atas pemenang 16 pingat emas Sukan SEA itu membolehkan skuad negara menggungguli Kumpulan B dengan tiga mata.

Mereka akan meneruskan pemburuan tiga mata berdepan Laos malam esok sebelum bertemu seteru seberang tambak, Singapura pada Sabtu dan menutup kempen peringkat kumpulan menentang Kemboja. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast