Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh mendakwa beliau terpaksa meletak jawatan sebagai pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan itu selepas merasakan sesuatu tidak kena berlaku tanpa pengetahuannya.

Antara sebab mengapa saksi pendakwaan itu berasa demikian kerana Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu adalah Perdana Menteri tidak membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) daripadanya.

Pesanan itu dakwa Mohd Bakke berkaitan kebimbangannya tentang beberapa perkara yang sedang berlaku dalam 1MDB termasuklah arahan ahli lembaga pengarah yang telah dikeluarkan kepada pengurusan syarikat namun ia seperti tidak dipatuhi.

Kata beliau, adalah tidak normal untuk Najib tidak memberi maklum balas mesej  apatah lagi mesej-mesej itu telah dihantar bagi membolehkan ada tindakan diambil terhadap pengurusan 1MDB.

“Saya hantar mesej kepada Datuk Seri (Najib) selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 September 2009 untuk memaklumkan lencongan dana AS$700 juta ke Good Star Ltd.

“Saya hantar mesej pengurusan 1MDB juga tidak melakukan apa yang sepatutnya dilakukan. Namun bukan satu respon normal beliau tidak menjawab mesej itu. Jika sebelum ini, apa sahaja di hantar oleh saya semuanya akan dibalas.

“Tidak terfikir oleh saya untuk melaporkan kepada mana-mana pihak berkuasa berkaitan salah laku kewangan pengurusan 1MDB kerana saya fikir saya sudah hantar SMS kepada Datuk Seri Najib dan sepatutnya beliau ambil tindakan sewajarnya,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Sambung Mohd Bakke, memandangkan Najib tidak memberikan sebarang maklum balas, beliau merasakan ada kemungkinan mantan Presiden UMNO itu sebenarnya melakukan sesuatu di belakangnya.

“Saya kemudian membuat keputusan untuk meletak jawatan sahaja Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah 1MBD tetapi saya tidak umum apa-apa kerana ketika itu saya mahu jaga reputasi beliau. Saya telah sediakan surat peletakan jawatan saya tanpa sebarang paksaan dari mana-mana pihak,” ujarnya.

Mohd Bakke juga telah meminta setiausahanya untuk menghantar surat peletakan jawatan kepada Najib kerana tidak mahu diyakinkan untuk terus kekal dalam 1MDB.

Beliau juga mendakwa sejurus selepas beliau meletakkan jawatan, Tan Sri Azlan Mohd Zainol juga mahu bertindak demikian.

“Tan Sri meletakkan jawatan selang beberapa lama selepas kerana tidak menyinggung perasaan Datuk Seri Najib ketika itu.

“Saya letak jawatan kerana protes dengan cara pengurusan 1MDB,” tegasnya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. –  MalaysiaGazette