Riad Asmat

KUALA LUMPUR – AirAsia mememohon maaf kepada penumpang yang telah mengalami kesulitan akibat penjadualan semula beberapa penerbangan disebabkan peningkatan permintaan secara mendadak semasa musim perayaan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu telah berusaha sedaya upaya memastikan kesan gangguan paling minimum kepada penumpangnya selain memastikan semua dapat tiba di destinasi masing-masing dengan cepat, termasuk melancarkan penerbangan khas untuk membawa penumpang yang terkandas.

Bagaimanapun jelas beliau, beberapa faktor dan insiden yang tidak dapat dielakkan telah mengakibatkan kelewatan di luar jangkaan dan kawalannya.

“Saya ingin menekankan bahawa kami tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan dan kesejahteraan untuk para tetamu dan kakitangan kami.

“Kami sentiasa memastikan hanya pesawat yang telah diperiksa sepenuhnya dan telah disahkan selamat untuk terbang sahaja digunakan dalam operasi kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Riad menambah, antara faktor yang telah menyumbang kepada penjadualan semula penerbangan semasa musim perayaan ini termasuk AirAsia telah membuat persediaan rapi dengan jangkaan permintaan yang meningkat seperti mana musim perayaan pada tahun-tahun sebelum pandemik.

Bagaimanapun jelas beliau permintaan untuk penerbangan domestik naik dengan mendadak semasa Hari Raya Aidilfitri ini selain pembukaan sempadan negara sejak 1 April lalu.

“AirAsia Malaysia kini beroperasi hanya dengan 40 pesawat berbanding hampir 100 pesawat pra-pandemik. Ini disebabkan giliran menunggu yang panjang untuk kemudahan penyelenggaran pesawat di Malaysia dan serantau sebelum sesebuah pesawat yang lama tidak beroperasi dapat disahkan selamat untuk terbang semula, seperti mana arahan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Walaupun dengan jumlah pesawat yang terhad, AirAsia terpaksa menambah penerbangan untuk beberapa laluan utama seperti Kuala Lumpur ke Kuching, Kota Kinabalu dan Kota Bharu bagi menampung permintaan mendadak pada saat akhir dan ini sekaligus mengakibatkan penjadualan semula bagi penerbangan lain.

“Di samping kerosakan dan masalah teknikal yang lazim yang ditemui semasa proses pemeriksaan rutin, turut berlaku insiden luar jangka seperti pintasan burung (bird strike), kerosakan akibat objek asing dan panahan petir yang menyebabkan antara tiga hingga lima pesawat terpaksa dikeluarkan dari jadual sepanjang tempoh perayaan ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, AirAsia Malaysia, Riad Asmat bergambar belatarkan belakang peta laluan baharu Air Asia pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Sempadan Negara Dalam Industri Penerbangan AirAsia di Red Q, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),Sepang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 MAC 2022.

Riad memberitahu, pasukan kejuruteraan AirAsia telah berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan keadaan dan mengembalikan pesawat yang menghadapi masalah ke dalam jadual penerbangan.

Bagaimanapun ujarnya, proses itu mengambil masa beberapa hari dan kami juga menghadapi beberapa halangan terutamanya bagi pesawat yang di luar pangkalan syarikat penerbangan itu.

“Dengan jumlah pesawat yang kian terhad ini, kami masih terpaksa memenuhi semua jadual penerbangan bagi memastikan semua tetamu dapat sampai di destinasi masing-masing dengan selamat.

“Keadaan cuaca tidak menentu di beberapa lokasi turut mengakibatkan kelewatan. Oleh kerana pesawat AirAsia beroperasi meliputi beberapa sektor dalam sehari, sebarang kelewatan yang berlaku pada sesuatu penerbangan akan mengakibatkan kelewatan pada penerbangan selanjutnya bagi pesawat tersebut,” katanya.

Tambah Riad, bagi pesawat yang mengalami masalah sepanjang tempoh itu, pasukan kejuruteraan AirAsia telah mencuba sedaya-upaya untuk membawa ia kembali ke dalam jadual penerbangan dengan seberapa segera, namun dalam banyak kes ia hanya dapat diselesaikan selepas satu atau dua hari.

“Ada pula pesawat yang mengalami masalah di luar pangkalan jadi ia menyukarkan kami untuk membuat pembaikan dan penyelenggaraan dengan segera.

“Keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangan sentiasa menjadi keutamaan kami. Oleh itu kami memastikan hanya pesawat yang telah diperiksa sepenuhnya dan disahkan selamat untuk terbang digunakan dalam operasi kami.

“Keutamaan kami buat masa ini ialah untuk meminumkan pembatalan penerbangan dan memastikan semua tetamu tiba di destinasi masing-masing dengan selamat. Setiap perubahan pada jadual penerbangan akan dimaklumkan kepada tetamu melalui email dan SMS ke nombor yang didaftarkan semasa tempahan tiket,” katanya. – MalaysiaGazette