Individu yang mendakwa hidup sebagai gelandangan ini bukan veteran ATM.

KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan seorang veteran hidup sebagai gelandangan di Kuala Lumpur selepas menamatkan perkhidmatan dalam tentera.

JHEV ATM dalam kenyataannya kepada media hari ini memberitahu, hasil semakan ke atas individu yang menggunakan nama Ruslan itu hanya pernah memasuki latihan asas rekrut selama tiga bulan pada 1994.

Individu terbabit bagaimanapun tidak meneruskan latihan kerana menghadapi masalah kesihatan.

“Sebaik ditamatkan latihan asas rekrut, individu itu telah bekerja di sektor perkilangan. Namun, disebabkan masalah kesihatan, dia telah diberhentikan kerja dan diberikan pencen ilat oleh PERKESO.

“Disebabkan minat dengan perkhidmatan ATM, beliau telah menyertai Askar Wataniah dan pernah bertugas di Markas Rejimen 503 (AW) di Ipoh, Perak dan di Batalion Ke-2 Rejimen 503 (AW) di Seksyen 16, Shah Alam, Selangor.

“Berdasarkan Akta Veteran 2012, hanya anggota angkatan sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM layak diiktiraf sebagai veteran ATM dan dalam hal ini, penglibatan individu itu dalam AW hanya sebagai sukarela dan tidak pernah dikerah sepenuh masa,” kata kenyataan itu.

JHEV ATM membuat maklum balas itu berdasarkan laporan sebuah portal atas talian pada 4 Mei lalu menyiarkan berita bertajuk, “Dulu berkhidmat sebagai Askar Wataniah, kini jadi gelandangan Kuala Lumpur”.

Menurut JHEV ATM, laporan itu tidak benar, malah memberi gambaran yang negatif kepada Kementerian Pertahanan dan jabatan itu khususnya.

Untuk makluman, perkhidmatan AW meliputi skim Pegawai dan Anggota Sukarela, skim Pegawai dan Anggota Yang Dipertugaskan Sepenuh Masa serta Tauliah Kehormat.

Hanya pegawai atau anggota yang dipertugaskan sepenuh masa akan diiktiraf sebagai veteran ATM setelah menamatkan perkhidmatan.

JHEV ATM menyaran dan menasihatkan media supaya merujuk kepada Ibu Pejabat JHEV ATM atau JHEV ATM Cawangan Negeri berdekatan sebelum melaporkan sebarang isu berkaitan permasalahan veteran ATM.

Ini bagi mengelakkan berlaku kesilapan dalam pelaporan dan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan imej kewartawanan.

Menurut kenyataan itu lagi, JHEV ATM sentiasa mengalu-alukan laporan atau kritikan daripada pelbagai medium yang bersifat membina dan mampu memperbaiki lagi mutu serta kualiti penyampaian perkhidmatan jabatan itu.

Sebarang maklumat dan bantuan yang disediakan serta informasi terkini boleh diperolehi melalui laman sesawang www.jhev.gov.my atau media sosial JHEV ATM atau menghubungi Khidmat Pelanggan JHEV ATM di talian 03-2697 6600. – MalaysiaGazette