Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd, Amir Hamdan bercakap kepada media mengenai gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang berlaku pada jam 8.16 pagi tadi dan menerangkan punca masalah yang berlaku dan langkah mitigasi yang akan dijalankan oleh Rapid Rail ketika di Kompleks Rapid Rail Subang. Foto MOHD ADZLAN, 10 MEI 2022.

PETALING JAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya menghala Putra Height yang terjejas pukul 8.16 pagi tadi disebabkan oleh tren 39 terkandas di Stesen LRT Taman Jaya.

Ketua Bahagian Kejuruteraan Kelana Jaya Line, Leman Zakaria berkata, Pusat Kawalan Operasi yang membuat penilaian awal pada sistem brek tren tersebut mendapati terdapat beberapa bahagiannya mengalami kebocoran cecair hidraulik ketika tren tersebut dalam perkhidmatan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan penumpang untuk turun di Taman Jaya sejurus mengetahui tren tersebut mengalami masalah teknikal.

Apabila kesemua penumpang selesai dikeluarkan, katanya, pihaknya cuba untuk menggerakkan tren tersebut keluar daripada servis namun gagal berbuat demikian.

Pasukan jurutera terlatih kedua seramai empat orang dikejarkan ke tempat kejadian dan landasan ditutup untuk proses pembaikan yang perlu dilakukan secara manual dari sebelah bawah tren.

Jurutera terpaksa membuka lapan kaliper brake bagi mengelakkan ia daripada melekat dengan plat brek disk.

Sebelum itu, pada pukul 8.26 pagi tadi, pihak Kawalan Operasi menjalankan pelan alternatif untuk penumpang dari arah Gombak dan Putra Height turun di Stesen LRT Asia Jaya dan menggunakan perkhidmatan tren lain bagi meneruskan perjalanan mereka.

Pelan itu terpaksa diaktifkan kerana terdapat satu sahaja landasan yang boleh digunakan antara Stesen Taman Bahagia sehingga Stesen LRT Taman Jaya.

Leman juga menjelaskan, Tren 39 yang terjejas itu telah menjalani beberapa siri pemeriksaan berjadual mengikut rekod penyelenggaraan.

“Kali terakhir tren ini diselenggara adalah pada 28 April lalu dan disahkan selamat untuk beroperasi” katanya dalam satu sidang media di Kompleks Rapid Rail Subang petang tadi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd., Amir Hamdan  memohon maaf kepada pengguna yang mengalami kesulitan untuk menuju destinasi masing-masing.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kerosakan bagi memastikan kejadian ini tidak berulang,” katanya.

Tambah Amir, penumpang yang terbabit dalam insiden tersebut boleh mendapatkan kupon perjalanan sehala dalam masa lima hari bermula hari ini di mana-mana kaunter LRT Rapid KL. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast