Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang lebih kukuh didorong oleh permintaan dalam negeri yang lebih mantap dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan.

BNM berkata, pasaran pekerja terus disokong oleh kadar pengangguran yang lebih rendah, penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang lebih baik.

Peralihan ke fasa endemik pada 1 April 2022 akan memperkukuh kegiatan ekonomi, sejajar dengan pelonggaran sekatan selanjutnya dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Aktiviti dan prospek pelaburan juga bertambah baik, disokong oleh realisasi projek berbilang tahun dan prospek pertumbuhan yang positif.

Bagaimanapun, risiko terhadap pertumbuhan masih wujud, termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan, gangguan rantaian bekalan yang bertambah teruk dan perkembangan buruk berhubung dengan Covid-19.

Tambahnya, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 2.2% hingga 3.2% pada tahun 2022.

Memandangkan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka meningkat untuk mencatatkan purata antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022.

Bagaimanapun, tekanan harga menaik akan dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga yang sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

Prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine serta gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri mengenai harga yang ditadbir.

Katanya, sepanjang krisis Covid-19, OPR dikurangkan sebanyak 125 mata asas secara kumulatif kepada paras terendah yang belum pernah dicatatkan sebelum ini, iaitu 1.75 peratus bagi memberikan sokongan terhadap ekonomi.

Keadaan pandemik yang pertama kali berlaku sehingga memerlukan tindakan sedemikian kini telahpun reda. Dengan pertumbuhan dalam negeri yang semakin kukuh, MPC mengambil keputusan untuk mula mengurangkan tahap akomodasi monetari.

Pengurangan ini akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Pembukaan semula ekonomi global yang berterusan serta keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.

Bank Pusat itu menambah, hal ini telah mengurangkan sebahagian daripada kesan konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

Tekanan inflasi telah meningkat secara mendadak disebabkan oleh kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tertekan dan keadaan permintaan yang kukuh, khususnya di Amerika Syarikat. Kesannya, beberapa bank pusat dijangka membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas bagi mengurangkan risiko inflasi.

Prospek pertumbuhan global akan terus dipengaruhi oleh perkembangan berhubung dengan konflik di Ukraine, Covid-19, keadaan rantaian bekalan global, kejutan harga komoditi dan volatiliti pasaran kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast