Suasana di sekitar pasar borong selepas kenaikan harga ayam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Jalan Raja Bot Chow Kit, Kuala Lumpur.Foto MUHD NA'IM, 11 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Harga ayam segar di ibu kota hari ini dijual pada harga RM9.50 sekilogram berikutan tindakan pembekal menaikkan harga sekitar RM8.60 sekilogram kepada peruncit.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Jalan Raja Bot, di sini, mendapati para peniaga mendakwa pembekal menaikkan harga sebanyak 50 sen sekilogram berbanding sebelum ini.

Keadaan itu menjadikan harga siling runcit RM8.90 sekilogram ayam standard yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sehingga 5 Jun ini meningkat kepada RM9.50.

Peniaga Ayam, Shahherey Zulkafli, ditemu ramah mengenai selepas kenaikan harga ayam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Jalan Raja Bot Chow Kit, Kuala Lumpur.Foto MUHD NA’IM, 11 MEI 2022.

Peniaga ayam, Shahherey Zulkafli, 30, berkata, dia terpaksa menjual harga ayam segar pada harga  RM9.50 sekilogram selepas hanya mendapat untung kurang daripada RM1 seekor.

“Harga ayam sekilogram RM8.90 kerajaan tetapkan, pembekal jual dalam RM8.30 dan kami untung memang sikit. Sebelum ini harga lebih murah iaitu dalam RM8 sekilogram, sekarang kalau jual terpaksa cecah RM9.50,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Peniaga ayam, Adi Ahmad, ditemu ramah mengenai selepas kenaikan harga ayam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Jalan Raja Bot Chow Kit, Kuala Lumpur.Foto MUHD NA’IM, 11 MEI 2022.

Seorang lagi peniaga, Adi Ahmad, 52, mengeluh selepas KPDNHEP masih mengekalkan harga siling yang sama walaupun peruncit terpaksa menanggung harga yang tinggi daripada pembekal.

“Sebelum ini kami beli dari pembekal RM8.10, kami jual RM8.40 dan masih tetap ikut harga kawalan RM8.90. Tapi sekarang pembekal naik harga dekat 50 sen, tapi kami perlu jual ikut harga siling sama iaitu RM8.90. Kalau pembekal naikkan harga, kami terpaksa juga naikkan harga,” ujarnya.

Pembeli ayam, Salasiah Md Isa, ditemu ramah mengenai selepas kenaikan harga barang ayam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Jalan Raja Bot Chow Kit, Kuala Lumpur.Foto MUHD NA’IM, 11 MEI 2022.

Mengulas lanjut, seorang pembeli, Salasiah Mad Isa, 44, yang turut mengusahakan perniagaan katering berkata, kenaikan harga ayam menjejaskan keuntungannya jika dibandingkan sebelum ini.

“Harga ayam memang naik sebab saya berniaga katering dan memang terjejas. Sebelum ini saya boleh dapat harga ayam dalam RM7 sekilogram, sekarang sampai RM9,” katanya.

Menurut Salasiah, beliau berharap kerajaan lebih cakna berkenaan isu kenaikan harga ayam yang boleh membebankan rakyat.

“Harapan saya kepada kerajaan, tolonglah selesaikan harga ayam ini sebab ayam ini dari bekalan dan pasaran tempatan tapi harga masih tinggi,” ujarnya.

Terdahulu, harga runcit RM8.90 itu merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 semasa perayaan Deepavali, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7 hingga 31 Disember 2021 serta RM9.10 semasa SHMKM dari 1 Januari hingga 4 Februari 2022.- MalaysiaGazette